Dewasa ini, masyarakat sering berhadapan risiko bahaya banjir kilat terutamanya di kawasan bandar-bandar besar yang padat dengan penduduk.

Antara sebab utama berlakunya banjir kilat ialah aliran permukaan pesat berikutan perubahan guna tanah, alur sungai dan longkang yang tersumbat, serta hujan ribut.

Terdapat pelbagai cara untuk mengawal masalah ini, namun sering mengalami kegagalan berikutan daripada sikap manusia yang masih terus-terusan membangunkan dataran banjir, memusnahkan kawasan hutan dan meratakan bukit untuk tujuan pembangunan.

 

Kos yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi mengendali masalah ini amat besar. Masyarakat juga perlu sedar akan tanggungjawab mereka serta mempelajari cara-cara bagi meminimumkan bahaya dan bencana ini yang juga berlaku dari kesilapan mereka sendiri.

Sebelum ini, banjir kilat sering berlaku disebabkan oleh faktor iklim Malaysia terutamanya semasa musim monsun timur laut (pantai timur), barat daya (Perlis dan Kedah) dan angin Sumatra (pantai barat Semenanjung).

Sekarang, kekerapan banjir adalah disebabkan oleh tindakan dan perilaku manusia sendiri. Kepadatan penduduk di kawasan dataran banjir di kawasan bandar serta rumah setinggan telah meningkatkan risiko banjir.

Aktiviti memajukan tanah yang berlebihan serta memusnahkan sumber hutan telah mewujudkan strategi pembangunan yang tidak seimbang.

Selain itu, sikap sambil lewa oleh pihak-pihak berwajib yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas kawasan domestik dan industri dalam mematuhi undang-undang serta menyediakan infrastruktur longkang dan sistem saliran yang baik dan mencukupi telah meningkatkan risiko banjir.

Pembangunan tanah bukit secara besar-besaran mempercepatkan kadar hakisan dan kadar air larian permukaan, meningkatkan tanah runtuh dan mencetekkan dasar sungai akibat pemendapan kelopak.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia