Apabila ditanyakan mengenai isu alam sekitar yang paling kritikal ketika ini, sudah pasti banyak pihak yang menekankan isu perubahan iklim atau pemanasan global. Bagaimanapun, lain pula pendapat Dr Chan Ngai Weng, Presiden Pengamatan Air Pulau Pinang (WWP) di dalam akhbar (Bernama) pada 17 Jun 2010.

Menurut Dr Chan, isu air adalah isu alam sekitar yang paling mendominasi pada kurun ini dan perlu diberi perhatian serius oleh segenap pihak. Tiada alternatif lain bagi menangani isu masalah kekurangan air tambahan pula, Malaysia terlalu banyak bergantung kepada pendekatan pengurusan bekalan air melalui pembinaan empangan dan loji rawatan air.


Dengan pertambahan bilangan penduduk, industri, pertanian dan sektor-sektor lain yang terus melonjak umpama cendawan tumbuh selepas hujan menyebabkan permintaan air kian meningkat. Namun persoalannya, adakah Malaysia terus-terusan boleh memenuhi pemintaan air yang kian melampaui kemampuan maksimum berikutan tiada lagi empangan yang boleh dibina.

Antara langkah yang disarankan bagi menangani masalah ini adalah dari sudut pendekatan Pengurusan Permintaan Air serta pendidikan kepada para pengguna mengenai penjimatan air. Selain kerajaan dan badan pengurusan, pegguna juga perlu memainkan peranan penting dalam sektor memelihara dan memulihara sumber air serta mengurangkan pembaziran air.

Tanpa kerjasama yang jitu dari semua pihak, masalah ini tidak akan dapat diatasi sampai bila-bila seterusnya merugikan dan menyukarkan keadaan pada masa akan datang. Pelbagai cara dilakukan bagi meningkatkan kesedaran pengguna seperti menjadikan mandatori untuk menjimatkan air atau mengenakan denda kepada mereka yang membuat pembaziran air.

Kerajaan dan badan pengurusan juga telah membantu sedikit sebanyak dalam pemberian subsidi melalui bayaran untuk tarif air yang terlalu rendah sebagai usaha menggalakkan pelestarian air oleh pengguna. Walaubagaimanapun, sikap endah serta tidak acuh pengguna telah mensia-siakan usaha dan pendidikan mengenai isu ini, ibarat mencurah air ke daun keladi.

Jumlah penggunaan air yang berlebihan oleh rakyat Malaysia perlu dikurangkan daripada 300 liter seorang sehari (LCPD) kepada sekurang-kurangnya 200 LPCD. Seiring dengan perubahan iklim, ketidakcekapan pengurusan air, kegagalan merancang serta melindungi sumber air akan mencetuskan krisis kritikal seperti kekurangan air dan tarif air yang tinggi.

NURUL AINA IBRAHIM ISTAR
FORUM AIR MALAYSIA
21 JUNE 2010