Seringkali kejadian banjir dilaporkan melalui media. Kejadian banjir tersebut sering tertumpu kepada kawasan yang sedang dibangunkan, sebagai contoh, kawasan pembinaan projek perumahan, lebuh raya baru dan bangunan bertingkat.

Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan kejadian banjir, iaitu pertamanya, kitaran angin monsun, yang biasanya membawa purata taburan hujan yang tinggi, dan kedua, sistem perparitan yang kurang efisien di kawasan bandar.


Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan telah meluluskan pelan pembangunan projek mengatasi masalah banjir yang membabitkan peruntukan lebih RM1 bilion. Namun pelaksanaannya mengambil masa yang panjang, bukan setakat dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), malah mungkin melangkau kepada RMK-11 kerana banyak kawasan yang terbabit.

Peruntukan kerajaan untuk mengatasi masalah banjir mungkin boleh dikurangkan seringnya wujud kerjasama antara pemaju dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Kerjasama itu akan menguntungkan semua pihak, terutamanya penduduk kawasan perumahan. Selain daripada menambah kesedaran tentang pentingnya sistem perparitan di kawasan yang dibangunkan, pemaju boleh berbincang dengan JPS dan mengenal pasti sistem perparitan yang lebih sistematik untuk mengelak berlakunya banjir.

Pembangunan amat penting untuk memajukan sesebuah kawasan dari segi ekonomi mahupun sosial penduduk setempat. Namun, sistem perparitan yang cekap juga tidak boleh dipandang enteng kerana kesannya akan memberi impak yang besar kepada semua pihak.

Syed Mubashir Bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
1 Jun 2010