Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) telah menganjurkan satu bengkel berkenaan dengan Sistem Perundangan Orang Asli pada 23 Mac 2011. Bengkel ini telah dihadiri oleh hampir 100 orang. Kebanyakan para hadirin pada hari tersebut merupakan Tok Batin (Ketua Kampung Orang Asli). Banyak perbincangan tentang pelbagai isu antara mereka dengan SUHAKAM.

Perbincangan kumpulan dan pembentangan merupakan bahagian paling menarik dalam bengkel tersebut kerana pelbagai isu penting ditimbulkan. Agak mengejut juga apabila mendapati hampir semua orang asli yang hadir mempunyai pengetahuan yang luas tentang isu-isu semasa tempatan dan luar negara. Malah, sesetengah daripada mereka pandai menggunakan komputer apabila dapat menyediakan ‘slideshow’ dengan serta-merta untuk pembentangan mereka, manakala ada pula yang sibuk menghantar e-mel. Ini menafikan tanggapan bahawa bahawa orang asli tidak mengetahui apa-apa dan ketinggalan zaman.

Peserta-peserta telah dibahagikan kepada 5 kumpulan untuk membincangkan lima soalan yang berlainan. Namun, perbincangan kelima-lima kumpulan tersebut menyentuh perkara yang sama iaitu hak orang asli terhadap tanah adat mereka, pencerobohan oleh pembalak dan kerajaan ke dalam tanah orang asli, agama dan adat orang asli.

Orang Asli mempunyai hubungan istimewa dengan tanah adat mereka, tidak seperti komuniti lain di Malaysia yang hanya melihat tanah mereka sebagai suatu aset yang bernilai. Adat, kebiasaan dan aktiviti orang asli selalunya dikaitkan dengan tanah adat mereka. Puak Semai (salah satu daripada 18 puak orang asli di Semenanjung Malaysia) selalu menggunakan pepatah “walah tik walah sinnui”  yang memberi maksud, “Tiada tanah tiada nyawa”. Pepatah ini mencerminkan kaitan tanah adat dengan identiti dan adat orang asli.

Seorang Tok Batin daripada puak Temiar memaklumkan bahawa mereka tinggal dalam sempadan kampong mereka tanpa menceroboh masuk ke kampong bersebelahan. Beliau juga dengan bangganya memberitahu bahawa mereka tidak mempunyai pagar atau dinding untuk menetapkan sempadan kampung. Mereka hanya bergantung kepada naluri dan hubungan istimewa mereka dengan alam semula jadi untuk mengenal pasti sempadan antara dua kampong.

Beliau juga menyangkal kepercayaan lazim bahawa orang asli adalah puak yang asyik berpindah (nomad). Menurut beliau, orang asli memang selalu berpindah 2 atau 3 kali setahun, tetapi mereka hanya berbuat demikian dalam sempadan kawasan mereka. Mereka tidak akan sesekali menceroboh ke dalam tanah orang lain. Selepas berpindah beberapa kali, mereka akan pulang ke tempat asal, yang kebiasaannya 14 atau 15 tahun kemudian. Mereka berbuat demikian untuk memastikan bahawa tanah tersebut sentiasa subur dan memulihara hutan.

Walau bagaimanapun, pembalak haram dan pencorobohan kerajaan dalam nama pembangunan telah menggugat habitat semula jadi orang asli. Tanah mereka dirampas dan diteroka menyebabkan sempadan tanah-tanah mereka semakin menngecil saban hari. Selain daripada menggugat habitat mereka, penerokaan ini juga telah mengganggu adat orang asli. Kini mereka tidak boleh berpindah berapa banyak yang boleh seperti dahulu. Mereka akan pulang ke tempat asal mereka dalam masa 7 atau 8 tahun sekali dan bukan lagi 13 atau 14 tahun sekali seperti dahulu.

Seorang lagi Tok Batin daripada puak Semai juga memberitahu tentang kerajaan yang mengambil kesempatan terhadap orang asli yang buta huruf. Kebanyakan orang asli masih mengamalkan agama purba mereka, Animisme, iaitu agama menyembah alam semula jadi dan roh moyang mereka. Tetapi, kini ramai orang asli yang mendaftarkan diri mereka sebagai orang Islam dalam sijil kelahiran dan kad pengenalan, mereka bukanlah penganut agama Islam.

Tiada sebarang bantahan dibuat kerana mereka tidak tahu membaca dan tidak peka terhadap apa yang berlaku. Ini juga menjejaskan adat resam mereka. Contohnya, orang asli mempunyai undang-undang dan adat tersendiri untuk hal ehwal perkahwinan, penceraian, pengebumian dan pengagihan harta benda. Bagi penganut agama Islam, semua perkara ini tertakluk kepada undang-undang Syariah. Ini telah menimbulkan banyak masalah dan kekeliruan kepada masyarakat orang asli kerana mereka tidak akan tahu sama ada ingin mengikut adat resam ataupun undang-undang Syariah.

Rungutan terakhir yang dihadapi masyarakt orang asli adalah tentang campur tangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam pemilihan Tok Batin. Dahulu, pangkat Tok Batin secara turun temurun, iaitu seseorang Tok Batin yang telah meninggal dunia ataupun uzur, akan diganti oleh ahli keluarganya. Tok Batin zaman dahulu selalunya orang yang serba tahu tentang adat resam, tradisi dan undang-undang orang asli, sedangkan Tok Batin moden merupakan orang yang berpelajaran dan diundi oleh masyarakat kampung (dengan sokongan kuat kerajaan). Namun mereka langsung tidak mengetahui tentang adat resam, tradisi dan undang-undang orang asli.

Peranan Tok Batin sekarang hanya menjadi mata dan telinga kerajaan di kampung mereka. Malah dimaklumkan juga bahawa Tok Batin dipaksa menandatangani perakuan menyokong kerajaan. Jika mereka enggan berbuat demikian, mereka akan dilucutkan jawatan Tok Batin. Selepas berbuat demikian, mereka secara tidak rasminya dijadikan ejen untuk memastikan bahawa semua orang kampung mereka hanya mengundi calon kerajaan dalam pilihan raya. Orang asli diugut oleh Tok Batin bahawa sesiapa yang tidak mengundi calon kerajaan akan dihukum kerana mengingkar arahan Tok Batin.    

Pada akhir bengkel tersebut, Janine Lasimbang, Pesuruhjaya SUHAKAM, memberikan jaminan kepada semua peserta bahawa SUHAKAM akan meneliti hal perbincangan dalam bengkel dan membentangkan laporan mereka kepada kabinet dan Parlimen. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa Parlimen tidak pernah membahaskan  tentang  laporan tahunan SUHAKAM sejak ia ditubuhkan 12 tahun yang lalu. Malah, Janine Lasimbang mengatakan bahwa SUHAKAM hanya boleh membuat cadangan kepada Parlimen dan kabinet. Ia tidak boleh membuat dasar tersendiri berkenaan hak asasi manusia.

Justeru, untuk memperbaiki keadaan orang asli dan hak asasi manusia secara amnya, SUHAKAM harus diberi lebih kuasa. Segala laporan SUHAKAM mesti dibentang dan dibahaskan di Parlimen. Malah ia juga perlu diberi kuasa untuk membuat dasar yang berdasarkan kepada laporannya. Jika laporan SUHAKAM tidak diberikan perhatian yang serius, maka ia merupakan satu pembaziran wang rakyat.

Ravin Karunanidhi
Bahagian Hak Asasi Manusia