Central Bank of Malaysia - WikipediaLaman Informasi Nasihat dan Khidmat Bank Negara Malaysia (BNMLINK) bertujuan untuk membantu serta memudahkan orang ramai dalam menangani isu dan aduan mengenai hal di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM).

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat atau bantuan penyelesaian tentang perbankan Islam dan konvensional, insurans dan takaful, khidmat nasihat bagi perusahaan kecil dan sederhana, pentadbiran pertukaran asing dan perkara lain di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia, boleh menghubungi BNMLINK dan BNMTELELINK.

Menurut Datin Arlina Ariff, Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat BNM, pada masa ini BNMLINK menerima 2,500 pertanyaan setiap hari berkaitan perkhidmatan institusi kewangan, insurans serta takaful.

Isu yang sering dihadapi oleh orang ramai ialah masalah kegagalan mereka melunaskan bayaran ansuran bulanan mengikut tarikh yang ditetapkan. Dalam hal ini, Datin Arlina menambah, peminjam yang membiarkan masalah pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan mereka berlarutan bakal berhadapan dengan beberapa implikasi, seperti faedah pinjaman atau pembiayaan mereka akan dinaikkan; menanggung segala kos dan caj bagi tindakan undang-undang yang diambil oleh pihak bank dan risiko aset boleh dilelong.

Selain itu, bayaran tertunggak akan tertera dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), yang sering menjadi rujukan institusi kewangan. Hal ini boleh menyebabkan peminjam menghadapi kesukaran untuk memohon pinjaman / pembiayaan kewangan pada masa hadapan.

Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan bahawa peminjam yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman atau pembiayaan supaya segera merujuk kepada pihak bank mereka bagi mengelak berdepan keadaan yang lebih sukar pada masa depan. Tindakan segera merujuk kepada bank membolehkan peminjam berunding dengan pihak bank bagi membincangkan pilihan dan pembayaran balik seperti penstrukturan atau penyusunan semula pembiayaan mereka.

Beliau juga menasihatkan peminjam yang menghadapi masalah itu supaya jangan menunggu sehingga pihak bank mengambil tindakan undang-undang kerana ia akan merumitkan lagi keadaan. Hal ini disebabkan oleh peminjam boleh diisytihar bankrap jika jumlah baki pembiayaan melebihi RM50,000.

“Jangan berlengah dan mengelak daripada pihak bank. Bertindak segera merujuk kepada pihak bank anda. Bincangkan jalan terbaik bagi membantu anda untuk terus membayar hutang sama ada melalui penjadualan atau penyusunan semula pinjaman atau pembiayaan,” demikian nasihat Datin Arlina.

“Sekiranya tiada jalan penyelesaian yang boleh diambil, pelanggan boleh merujuk perkara ini kepada Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan kaunseling serta menyertai program pengurusan hutang oleh AKPK,” katanya pada taklimat media mengenai khidmat nasihat yang disediakan Pusat Perhubungan Pelanggan Bank Negara Malaysia.

Beliau berkata, pelanggan bank yang tidak berpuas hati dengan keputusan institusi kewangan boleh merujuk perkara berkenaan di talian 1-300-88-5465, e-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau melalui borang maklumat di pautan https://telelink.bnm.gov.my/.


Sumber: www.fomca.org.my