Kebelakangan ini, Malaysia telah dilanda hujan lebat dan mengakibatkan tanah runtuh dan banjir kilat di merata tempat, terutamanya di kawasan bandar. Fenomena ini bukanlah fenomena yang baru ataupun segar untuk rakyat Malaysia yang telah lama tinggal di kawasan bandar. Malah, sebahagian besar daripada mereka telahpun biasa dengan keadaan seperti kesesakan lalu-lintas yang disebabkan oleh hujan lebat, tanah runtuh dan juga banjir kilat. 

Mereka telah serik untuk mengadu kerana walaupun mereka telah membuka mulut, kesemuanya umpana tenggelam ke dalam laut dan tidak dapat disalurkan kepada pihak-pihak yang berkuasa seperti agensi kerajaan tempatan dan juga pihak bertanggungjawab.


Menurut laporan National Communication 2 , kadar hujan di Malaysia, terutamanya di kawasan pantai timur di Semenanjung Malaysia akan meningkat sebanyak 50% untuk tahun-tahun yang akan datang. Selain itu, laporan tersebut juga menyatakan bahawa kadar hujan yang lebat dalam masa yang singkat akan meningkat mendadak. Hujan seperti ini akan mengakibatkan peningkatan banjir kilat seperti yang berlaku kebelakangan ini disebabkan sistem perparitan dan saliran yang tidak pernah dinaik taraf sejak 20 hingga 30 tahun yang lalu. 

Cadangan-cadangan Persatuan Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) :

  1. Agensi kerajaan dan juga kerajaan tempatan perlu memastikan infrastruktur-infrastruktur seperti sistem perparitan dan saliran dinaik taraf dan berupaya menanggung kadar air hujan yang berupaya meningkat mendadak dalam masa yang terdekat. Selain itu, longkang-longkang juga perlu dibersihkan selalu untuk memastikan tiada bahan-bahan tersumbat.
  2. Menyebarkan maklumat-maklumat mengenai cuaca semasa melalui penggunaan media dan juga media sosial. Maklumat-maklumat tersebut perlulah tepat dan ringkas agar ia mudah difahami.
  3. Pengguna-pengguna jalan raya haruslah menyalakan lampu kenderaan mereka semasa memandu dalam hujan lebat. Hanya memasang lampu isyarat kecemasan (hazard light) apabila kenderaan anda berhenti di tepi jalan dan bukannya semasa memandu.
  4. Mengurangkan kelajuan kenderaan semasa hujan lebat. Untuk penunggang motosikal, sila berhenti di kawasan rehat ataupun di tempat berteduh sebelum meneruskan perjalanan.
  5. Melaporkan kerosakan jalan-raya seperti lubang di atas jalan raya kepada pihak berkuasa.
  6. Tidak membuang sampah dari kereta semasa di atas jalan raya. Sampah tersebut akan menyebabkan longkang tepi jalan tersumbat.
  7. Memastikan jarak yang selamat di antara kenderaan di depan dan anda.
  8. Tidak menggunakan telefon bimbit semasa hujan lebat.


Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia