Banjir besar yang melanda Pakistan telah menunjukkan betapa pentingnya diwujudkan satu sistem yang berfungsi untuk memberi bantuan kewangan dalam pembangunan semula negara yang mengalami bencana alam.

Krisis banjir di Pakistan telah bertambah buruk dalam masa seminggu sahaja yang bermula di utara Pakistan dan telah meluas sehingga ke bahagian tengah dan selatan Pakistan.

Hampir satu juta penduduk telah dipindah dari daerah Sindh dalam masa beberapa hari sahaja selepas tebing Sungai Indus pecah.

Pada masa skala banjir semakin membesar, jumlah kerugian dan kos pembangunan semula juga dikira. Duta Besar Pakistan di London berkata bahawa US$15bil (RM46bil) diperlukan untuk membangun semula Pakistan. Banjir besar ini telah menjejaskan kehidupan lebih daripada 20 juta orang penduduk Pakistan. Kerajaan Pakistan juga menganggarkan bahawa banjir ini telah memusnahkan 5,000 batu jalan raya dan landasan kereta api, 7000 sekolah dan hampir 400 kemudahan kesihatan.

Di Afghanistan pula, Amerika Syarikat telah membelanjakan sebanyak US$500 juta (RM1.54bil) untuk membina semula jalan raya sepanjang 500 batu dan ia memerlukan beberapa tahun untuk disiapkan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh beberapa buah universiti di Amerika Syarikat dan laporan kerajaan tempatan di Pakistan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah US$7.1bil hingga US$30bil.

Tragedi ini membuktikan bantuan kewangan yang besar diperlukan untuk membantu negara-negara membangun bagi menangani cuaca-cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Negara-negara maju yang telah menandatangani perjanjian-perjanjian dulu tidak mengotakan janji mereka. Mereka gagal memberi bantuan kewangan yang secukupnya kepada negara-negara yang dilanda oleh bencana alam yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Perbincangan mengenai bantuan kewangan iklim (climate financing) bakal berlangsung di Geneva, yang antara topik utama dibincangkan adalah tragedi seperti banjir di Pakistan dan gempa bumi di Haiti. Sistem bantuan yang berkesan untuk tragedi-tragedi ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam perbincangan ini.

Pada masa ini, negara-negara yang terjejas hanya boleh bergantung kepada derma dan kebajikan yang didermakan oleh masyarakat sedunia. Dana-dana yang disalurkan oleh negara-negara maju terlalu sedikit dan tidak menepati jumlah yang dijanjikan.

Oleh itu, satu sistem pusat kewangan harus diwujudkan dan dikendalikan oleh Konvensyen Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan bukannya Bank Dunia.

Selain itu, isu jumlah sebenar dana yang diperlukan untuk pencegahan, adaptasi, teknologi dan pembanguan kapasiti juga akan dibincangkan.

Untuk pencegahan, Laporan Pembangunan Dunia 2010 (World Development Report 2010) telah meramalkan bahawa negara-negara membangun akan memerlukan bantuan kewangan sebanyak US$140bil (RM432bil) hingga US$175bil (RM540bil) dalam tempoh 20 tahun seterusnya.

Bank Dunia juga melaporkan bahawa sebanyak US$100bil (RM308bil) setahun diperlukan untuk adaptasi di negara-negara membangun.

Angka ini adalah lebih tinggi berbanding dengan ramalan yang dibuat oleh laporan UNFCCC di mana UNFCCC meramalkan kos sebanyak US$27bil (RM83bil) hingga US$66bil (RM204bil) a year.

Kumpulan teknologi UNFCCC juga melaporkan bahawa keperluan kewangan untuk teknologi mencecah US$300bil dan US$1tril (RM926bil - RM3.08tril) setahun.

Jumlah keseluruhan yang diperlukan untuk teknologi, pencegahan dan adaptasi dianggarkan antara US$182bil dan US$505bil (RM562bil - RM1.81tril) setahun untuk negara-negara membangun.

Namun, janji-janji daripada negara maju – US$10bil (RM30.8bil) setahun dalam 2010-2012 dan sehingga US$100bil (RM308bil) setahun menjelang 2020 – adalah terlalu sedikit untuk jumlah sebenar yang diperlukan.

Seperti yang ditunjukkan dalam tragedi banjir di Pakistan, kerosakan dan kerugian yang disebabkan oleh perubahan iklim adalah tinggi dan susah diramalkan.

Cabaran-cabaran untuk menghalang mala petaka dan kerja-kerja pengurusan semasa ia berlaku juga amat besar.

Sistem kewangan dan jumlah dana bantuan harus dibincang dengan serius dan diurus dengan baik agar negara-negara membangun mendapat peluang untuk terus wujud di atas peta dunia ini pada masa hadapan.


Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia