Bulan Ogos seumpama bulan malapetaka yang melanda di seluruh dunia. Semenjak kebelakangan ini, media massa sering melaporkan tentang berita-berita yang memilukan hati tentang banjir, gempa bumi dan kebakaran hutan. Bumi telah sakit tenat!

Dalam kancah alam sekitar, kita sebagai manusia sangat lemah dan tidak berupaya untuk menghadapi bencana-bencana ini. Tanah runtuh dan banjir lumpur di China, banjir besar di Pakistan, ribut taufan di Korea dan Jepun, gelombang panas dan sejuk yang melanda di serata dunia, gempa bumi dan kebakaran hutan di Rusia telah menyebabkan bilangan mangsa dan kerugian yang tinggi. Jumlah ini terus meningkat!

Pernahkah sesiapa yang terfikir bahawa skala banjir besar di Pakistan akan melampaui skala bencana tsunami yang berlaku pada tahun 2004 di Acheh yang meragut sebanyak 250,000 nyawa? Plot-plot seperti ini yang sebelum ini hanya boleh didapati daripada wayang-wayang, tetapi kini jelas berlaku di hadapan mata kita.

Para saintis berkata bahawa semua ini hanya merupakan amaran awal. Sekiranya manusia masih degil dan memusnahkan alam sekitar secara berterusan, malapetaka atau bencana yang lebih teruk dan tidak pernah dibayangi bakal berlaku.

Pencinta-pencinta alam telah menyeru agar orang ramai untuk melindungi bumi tercinta kita dengan berhenti mencemarkan alam sekitar. Namun, suara-suara ini adalah lemah dan tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sehingga tidak ramai orang sanggup mendengarnya.

Sebenarnya, kitar semula merupakan amalan yang paling asas dalam kehidupan kita. Hanya dengan membawa bekal makanan sendiri, botol-botol air sendiri demi mengurangkan penggunaan bekas polisterina dan plastik. Kitar semula kertas, menjimat penggunaan air dan tenaga elektrik merupakan langkah-langkah yang ringkas dan mudah, tetapi bermakna.

Berubahlah demi kesejagatan manusia dan dunia. Ingat, perubahan bermula dengan diri kita sendiri!

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia