Perubahan iklim secara meluas digambarkan sebagai salah satu ancaman terbesar bagi manusia. Peningkatan gas rumah hijau seperti gas karbon dioksida, metana, karbon monoksida dan nitrogen dioksida ini telah meyebabkan kesan yang serius kepada pengguna seperti banjir, ribut taufan, kepanasan yang melampau dan pelbagai bencana alam yang lain.

Laporan yang dikeluarkan oleh Intergovernmental Panel on Climate Change ( IPCC), sebuah badan yang mempunyai saintis-saintis dan pakar kaji cuaca dari seluruh dunia, telah memaklumkan bahawa sejak Revolusi Industri, pembebasan gas karbon dioksida telah meningkat daripada 280ppm kepada 379ppm dalam tempoh masa 150 tahun terakhir.

Menyedari ancaman ini, sesetengah kerajaan dan industri di seluruh dunia telah berganding bahu dan mengambil inisiatif untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau (GHG) di semua peringkat Salah satunya adalah dengan menggalakkan industri untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Banyak syarikat kini yang sedar akan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar. Namun masih terdapat segelintir syarikat yang masih tidak begitu peka atau tidak tahu cara-cara untuk memastikan organisasi mereka lebih mesra alam dan tidak membawa kesan buruk kepada alam sekitar.

Apabila sesebuah organisasi mengambil inisiatif untuk mengeluarkan barangan yang mesra alam, maka syarikat tersebut secara tidak langsung akan dapat menaikkan imej syarikat mereka dan boleh dilihat sebagai satu entiti yang mempunyai tanggungjawab sosial. Tetapi, terdapat pula sesetengah syarikat yang membuat dakwaan palsu dan mengelirukan pengguna dengan mengatakan bahawa syarikat mereka tidak mengeluarkan gas rumah hijau dan sebagainya. Siapakah yang boleh menentukan sama ada dakwaan syarikat-syarikat tersebut adalah benar? Oleh itu satu garis panduan umum perlu dibangunkan sebagai sumber rujukan.

Dokumen standard ISO 14064:2006 dibangunkan untuk tujuan membantu organisasi dalam mengkuantifikasi dan melaporkan pembebasan gas rumah hijau, dan bagaimana melakukan verifikasi terhadap laporan tersebut. Dokumen standard ISO 14064 :2006 ini terdiri daripada 3 bahagian. Bahagian pertama menetapkan keperluan untuk merancang dan mengembangkan organisasi peringkat persediaan GHG. Bahagian kedua menerangkan syarat terperinci untuk mengukur, pemantauan dan laporan pengurangan pembebasan dan tambahan pengeluaran daripada projek gas rumah hijau. Bahagian ketiga memberi keperluan dan panduan untuk melakukan validasi dan pengesahan maklumat GHG.

Standard ISO 14065:2007 pula menetapkan prinsip dan syarat untuk pihak yang melakukan verifikasi dan penilaian gas rumah hijau. Pihak yang melakukan penilaian dan verifikasi tersebut adalah bertanggungjawab untuk melakukan penilaian objektif terhadap penyataan organisasi mengenai pembebasan gas rumah hijau dan menerbitkan pernyataan secara bertulis seperti yang diakui oleh sesebuah organisasi itu. Tujuan standard ini adalah untuk memastikan bahawa badan verifikasi atau penilaian memiliki kompetensi dan sistem yang objektif untuk memberikan penilaian terhadap pernyataan atau dakwaan mengenai gas rumah hijau oleh sesebuah organisasi.

Sektor industri digalakkan untuk mendapatkan pensijilan standard ISO ini. Selain mendapatkan keuntungan, inisiatif-inisiatif industri dalam mendapatkan pensijilan ini akan sedikit sebanyak memberikan peluang untuk mereka memainkan peranan sebagai sebuah industri yang peka dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia