Boleh dikatakan hampir setiap hari, kita akan mendengar masalah berkaitan isu air. Tidak kira sama ada melalui media massa seperti surat khabar, televisyen dan radio ataupun daripada orang yang kita kenali baik keluarga mahupun sahabat handai.

Terbaru sekali ialah masalah banjir. Beberapa lokasi di sekitar tanah air dilanda banjir, contohnya seperti di Felda Jengka 25, Maran yang berlaku kerana pembetung rosak dan telah menjejaskan aktiviti seharian bagi 400 orang penduduk.

Selain itu, banjir turut berlaku di Melaka kerana hujan lebat hampir 6 jam yang menyebabkan 13 kawasan penempatan dinaiki air antara 0.1 hingga 0.9 meter.  Sementara itu di Johor Bahru dan Muar, hujan lebat yang berterusan selama 2 jam telah menyebabkan kegiatan harian penduduk terjejas. 

Permasalahan ini jika dipandang dari sudut yang lebih global, turut melanda di beberapa negara seperti di China, Ghana dan juga Myanmar. Jumlah angka korban dianggarkan menghampiri 300 orang selain ribuan penempatan yang musnah. 

Namun secara keseluruhannya, isu banjir ini telah sekian lama mendapat perhatian daripada semua pihak, malah kerajaan juga telah memainkan peranan dengan positif, menjanjikan peruntukan kewangan untuk menaik taraf sistem pembetungan dan memulakan projek mencegah dan tebatan banjir di sekitar kawasan rendah.

Isu lain yang ingin dibangkitkan ialah pencemaran di kawasan tadahan seperti yang berlaku di Sungai Hiliran, Losong, Kuala Terengganu akibat daripada pembangunan pesat di sekitarnya. Pencemaran berlaku kerana sikap segelintir peniaga pasar basah yang membuang sampah serta buangan sisa minyak daripada bengkel bot nelayan yang berhampiran. 

Pengarah Jabatan Trivecosta Negeri Terengganu, Datuk Wan Zahari Wan Ngah telah mencadangkan supaya kempen kesedaran yang berterusan harus dilaksanakan di samping menyeru masyarakat memainkan peranan dengan sentiasa memantau keadaan sungai.

Kesimpulannya, kita sebagai penduduk dan juga pengguna disarankan agar lebih prihatin dan tegas terhadap permasalahan yang berkaitan dengan air. Lebih-lebih lagi air merupakan sumber asas yang sangat penting dalam kehidupan.

Syed Mubashir Bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia