Indeks harga pengguna Disember meningkat satu peratus22 Oktober 2020
PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi menguncup 1.4 peratus pada September, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan pengukur kadar inflasi negara keseluruhan itu dipengaruhi oleh penurunan indeks Pengangkutan (-9.9 peratus); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.0 peratus) serta Pakaian & Kasut (-0.6 peratus) yang menyumbang 41.6 peratus daripada keseluruhan wajaran.

"IHP bulanan tidak menunjukkan perubahan berbanding Ogos 2020. Walaupun begitu, terdapat kumpulan utama yang menunjukkan peningkatan iaitu Restoran & Hotel (0.2 peratus); Minuman Alkohol & Tembakau (0.1 peratus); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.1 peratus); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.1 peratus) dan Pendidikan (0.1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun beberapa indeks utama menurun, namun Makanan & Minuman Bukan Alkohol sebaliknya menunjukkan peningkatan 1.4 peratus kepada 135.1 berbanding 133.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

"Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP. Selain itu, indeks Pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.7 peratus diikuti Komunikasi (1.6 peratus) dan Kesihatan (1.1 peratus)," katanya.

Mohd Uzir berkata, IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.1 peratus pada September 2020 berbanding bulan sama tahun lalu.

"Purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 menunjukkan penurunan pada September 2020 iaitu RM1.68 per liter berbanding RM2.08 pada September 2019.

"Di samping itu, purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 menurun kepada RM1.98 per liter berbanding RM2.58 dan purata harga Diesel menurun kepada RM1.73 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, indeks teras meningkat 1.0 peratus pada September 2020 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

"Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.7 peratus); Komunikasi (1.6 peratus); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.4 peratus) dan Kesihatan (1.1 peratus).

"Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal," katanya.

Indeks bagi semua negeri pula menunjukkan penurunan antara 0.8 peratus hingga 2.2 peratus bagi September 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.2 peratus); Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-2.2 peratus) serta Kedah & Perlis (-2.2 peratus).

Ini diikuti oleh Sarawak (-2.1 peratus), Negeri Sembilan (-1.9 peratus) dan Johor (-1.9 peratus).

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/10/744458/kadar-inflasi-september-susut-14-peratus