June 27, 2022 4:23 pm
SHAH ALAM, 27 JUN: Kebanyakan pasar raya di ibu negara kehabisan stok minyak masak paket satu kilogram (kg) manakala stok botol lima kg berkurangan.

Seorang pekerja pasar raya yang enggan dinamakan mengakui bekalan keperluan harian itu berkurangan selain pembekal tidak menghantar bekalan, menurut tinjauan Harian Metro.

“Setiap kali ada bekalan baru yang sampai, memang cepat habis stok, jadi yang tinggal sekarang hanya yang ada di rak,” katanya.

Seorang pengguna, Jasmine Chang, 50, berkata beliau mendapati minyak masak tidak kira berbotol ataupun paket banyak yang habis stok.

“Tapi, saya dapati hari ini minyak masak itu sudah kehabisan stok. Jadi, saya terpaksa pergi ke kedai runcit atau pasar raya berhampiran yang lain,” katanya.

Pekerja swasta, Mahawi, 60, berkata ramai peniaga akan terkesan jika pemansuhan subsidi minyak botol dilaksanakan dan ia menjadi beban kepada golongan terbabit.

“Baru-baru ini saya ingin membeli karipap di sebuah gerai yang saya biasa pergi. Saya terkejut sebab mereka kata tiada karipap yang dijual kerana tiada minyak masak,” katanya.

Rabu lalu, Perdana Menteri berkata subsidi minyak masak paket masih dikekalkan sementara jenis berbotol antara satu hingga lima kg tidak lagi diteruskan bermula 1 Julai.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan itu berikutan bekalan tersebut banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial selain terlibat aktiviti penyeludupan.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/06/bekalan-minyak-masak-paket-habis-stok-botol-5kg-berkurang/