Mac 23, 2023 @ 1:45pm
KUALA LUMPUR: Banyak pemain bersedia menawarkan sistem pembayaran terbuka untuk tol di lebuh raya dan pada masa sama, syarikat pengendali sistem Touch 'n Go dibenarkan terus beroperasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat pengendali Touch 'n Go, sebaliknya melaksanakan langkah untuk memberikan pengguna lebuh raya lebih banyak pilihan sistem bayaran, termasuk melalui kad debit dan kredit.

"Kerajaan tidak bertindak zalim untuk menghentikan (Touch 'n Go) walaupun kita meminta mereka jawab beberapa soalan sebelum ini.

"Saya dimaklumkan sudah ada banyak pemain yang bersedia menawarkan sistem terbuka ini (pembayaran tol).

"Kita akan berbincang dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pemain yang mungkin masuk ke dalam industri supaya sistem itu terbuka, di mana rakyat boleh memilih sama ada menggunakan Touch n Go, RFID atau Smart Tag dan pada masa sama, boleh menggunakan pembayaran biasa menggunakan kad debit dan kredit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jualan Rahmah Bersama 99 Speed Mart, di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka, selewat-lewat September depan, bagi membolehkan pengguna membayar tol melalui kad debit dan kredit.

Lebuh raya terbabit ialah Lebuh Raya Sungai Besi, Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan Lebuh Raya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan peserta pada program dialog anak muda 'Temu Anwar' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memaklumkan, kerajaan akan mempertimbangkan semula monopoli Touch 'n Go dalam sektor pengangkutan dan jalan raya.

Semalam, Salahuddin dipetik berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) pada minggu depan berhubung cadangan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1080796/banyak-pemain-bersedia-tawar-sistem-pembayaran-terbuka-di-tol