Berita HarianKUALA LUMPUR: Lebih 20,000 pengunjung memeriahkan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2023 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berlangsung di Piazza Pavilion, Bukit Jalil, di sini, bermula Jumaat lalu hingga hari ini.

Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDN, Adiratno Che Ani, berkata jumlah pengunjung itu melebihi sasaran ditetapkan pihaknya iaitu sekitar 10,000 hingga 15,000 orang pada program bertemakan "Pengguna Berdaya, Negara Rahmah Sejahtera" itu.

Beliau berkata, penganjuran program berkenaan adalah selaras komitmen dan usaha KPDN untuk menjadikan setiap rakyat sebagai individu yang tahu hak sebagai pengguna serta berani bertindak untuk hak mereka mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan sedia ada.

"Tujuan mengadakan HPK 2023 ini bukan sahaja untuk meraikan pengguna tetapi untuk mengingatkan mereka tentang hak yang perlu dipertahankan. Pada program ini, kita memberi maklumat kepada pengguna cara membuat aduan sekiranya ditipu dan sebagainya.

"Kita mahu supaya setiap pengguna mempunyai keupayaan dan bersedia untuk mempertahankan dan memperjuangkan hak mereka. Insya-Allah, negara akan rahmah dan penuh sejahtera sekiranya objektif ini tercapai," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi HPK 2023.



Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan penutupan HPK 2023 yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, yang memikul sementara tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Adiratno berkata, menerusi program itu juga, pihaknya turut menumpukan kempen ke arah mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti penipuan umrah.

Katanya, sebanyak 32 reruai pameran termasuk reruai berkaitan tribunal tuntutan pengguna disediakan bagi membantu mangsa sindiket penipuan mengetahui hak yang boleh dituntut oleh mereka.

Selain itu, beliau berkata, pelbagai aktiviti turut diadakan pada HPK 2023, antaranya pertandingan eSport, mewarna, fesyen kepenggunaan, Cabaran Troli Pengguna dan Consumer Got Talent.

Sementara itu, pada majlis sama, Anwar juga melancarkan Majlis Flag-Off Lori Jualan Rahmah Bergerak Peringkat Kebangsaan yang diadakan sempena HPK 2023. – BERNAMA