ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan pempengaruh media sosial untuk mempromosikan dan menggalakkan pembelian barangan buatan Malaysia.

Pengarah Kanan Perniagaan Sektor Perdagangan dan Pengedaran KPDN, Datuk Rohaizi Bahari berkata, pihaknya berharap golongan terbabit dapat membantu mengetengahkan dan meningkatkan penerimaan rakyat terhadap barangan Malaysia.

Menurut beliau, KPDN berusaha untuk memartabatkan barangan Malaysia termasuklah inisiatif pemerkasaan produk tempatan industri peruncitan dan platform dalam talian serta inisiatif media animasi digital, selain prlaksanaan Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia.

"Kita akan gunakan sepenuhnya medium yang ada, sama ada medium elektronik dan juga ini media baharu.

"Kita juga akan bekerjasama juga dengan pempengaruh-pempengaruh untuk sama-sama mempromosikan Karnival Barangan Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Utara di Aman Central di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth.

Rohaizi berkata, KPDN menggalakkan dan menyokong pempengaruh media sosial untuk mempromosikan barangan buatan Malaysia yang mempunyai kelebihan dan kualiti baik.

Beliau menyifatkan, pelaksanaan program terbabit pada tahun ini adalah langkah tepat kerajaan dan KPDN dalam meneruskan usaha bagi memartabatkan barangan Malaysia di kala isu kos sara hidup meningkat dan krisis ekonomi melanda seluruh dunia ketika ini.

Beliau menambah, lima siri Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia akan diadakan di Zon Utara, Timur, Selatan, Sabah dan Sarawak sebelum acara kemuncak Karnival Barangan Malaysia 2023 di IOI Grand, Putrajaya pada Disember nanti.

Rohaizi berkata, kempen diadakan diharap menjadi pemangkin dalam merancakkan kembali pembelian barangan buatan Malaysia, sekali gus mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa khususnya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Utara dilaksana bagi menggalakkan rakyat di kawasan utara untuk memberikan keutamaan kepada barangan buatan tempatan.

Jelas Rohaizi, kempen terbabit merupakan salah satu inisiatif kerajaan melalui KPDN di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023.

Kata beliau, seramai 20 pempamer turut sama dalam menjayakan Jelajah Mini KBM 2023 Zon Utara dengan mengetengahkan produk merangkumi kepelbagaian produk atau kluster daripada keunikan empat negeri berbeza di utara iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Jelas Rohaizi lagi, pihaknya turut menyasarkan jualan sebanyak RM50,000 melalui Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Utara bermula 21 hingga 23 September ini.