Khamis, 14 Mei 2020 | 10:48am

Semua sampel ayam yang diambil di sebuah kilang pemprosesan dekat Pedas, Negeri Sembilan didapati negatif COVID-19.

Memaklumkan keputusan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menjelaskan sampel ayam 'whole chicken' daripada kilang berkenaan diambil untuk proses ujian pengesanan COVID-19 melalui kaedah Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

Pasca persampelan dan penelitian, katanya, keputusan ujian yang diperoleh pada 9 Mei lalu menunjukkan kesemua sampel terbabit adalah negatif wabak COVID-19.

"Kilang berkenaan mendapat pensijilan Veterinary Health Mark (VHM) sejak 2008, malah pemeriksaan daging ayam sentiasa dijalankan pegawai pemeriksa daging bertujuan memastikan keselamatan dan kualiti ayam yang diproses di kilang terbabit terjamin.

"JPV juga ingin memaklumkan bahawa, melalui kajian saintifik oleh beberapa agensi dan institusi antarabangsa, antaranya University of Macau dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) Paris, sehingga kini membuktikan haiwan seperti lembu, kambing, babi dan ayam bukan penyebar COVID-19 kepada manusia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2 Mei lalu mengeluarkan arahan untuk menutup sebuah kilang pemprosesan ayam di Pedas, Negeri Sembilan selepas 60 pekerja di premis terbabit disahkan positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini menjelaskan bahawa KKM masih menunggu laporan siasatan JPV berhubung kemungkinan penularan jangkitan COVID-19 daripada ayam ke manusia.

Mengulas lanjut, JPV turut memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 7 April lalu yang menyatakan bahawa keberangkalian untuk manusia mendapat COVID-19 daripada makanan atau bungkusan makanan adalah sangat rendah, memandangkan virus terbabit tidak dapat membiak dalam makanan.

Selain itu, artikel terbitan University of Georgia, Amerika Syarikat (AS) pada 23 Mac lalu menegaskan bahawa penularan jangkitan COVID-19 tidak mempunyai kaitan dengan produk ternakan.

"Kajian yang diterbitkan melalui beberapa jurnal antarabangsa menunjukkan penyebab kepada penyakit COVID-19 oleh virus SARS-Cov-2 adalah daripada kumpulan betacoronavirus.

"Manakala kumpulan gammacoronavirus ada pada spesies unggas seperti ayam. Virus betacoronavirus tidak boleh menjangkiti spesis unggas kerana mempunyai reseptor berbeza.

"Oleh itu, JPV menasihatkan masyarakat supaya tidak khuatir untuk memakan daging ayam," katanya.

--BeritaHarian