Isnin, 15 Jun 2020 | 3:33pm
KUALA LUMPUR: Pengusaha perniagaan dan pemilik premis digesa menggunakan alat pengukur suhu badan yang disahkan dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka tidak boleh mendapatkan bekalan itu secara sebarangan bagi mengelak alat itu tidak boleh berfungsi sebaiknya.

"Kalau mereka sudah beli, mereka perlu perhatikan dari segi ketepatan bacaan suhu. Kalau ada masalah mereka perlu hantar baiki semula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian yang disiarkan secara langsung selepas mesyuarat khas Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan semakan terhadap ketepatan bacaan alat berkenaan.

"Cuma pengusaha perniagaan itu sendiri mesti mengambil inisiatif memastikan ketepatan pengimbas suhu.

"Kalau pelanggan tak puas hati dan tak percaya (bacaan suhu badan yang diambil), boleh buat aduan kepada pasukan task force (PDRM) yang mungkin akan bawa hal ini kepada KKM," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/700537/covid-19-guna-pengimbas-suhu-disahkan-dapat-kelulusan-kkm