Rabu, 29 Julai 2020 | 3:49pm
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar memberi tumpuan kepada empat golongan bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata bantuan-bantuan itu adalah untuk individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Katanya, moratorium lanjutan bersasar ini akan diberi untuk tempoh tiga bulan dengan syarat peminjam membuat permohonan kepada institusi kewangan.

"Selepas tiga bulan, institusi kewangan boleh melanjutkan tempoh sekiranya individu masih tidak berjaya mendapat pekerjaan.

"Kedua, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan, bantuan bersasar adalah berbentuk bayaran ansuran yang dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

"Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan oleh institusi kewangan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu yang memerlukannya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, di samping itu, pertimbangan akan diberikan kepada peminjam-peminjam lain, termasuk individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan COVID-19.

"Antara kelegaan yang ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau pelepasan lain yang sesuai.

"Bagi peminjam sewa beli yang memerlukan bantuan, institusi kewangan akan menawarkan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli," katanya,

Secara keseluruhannya katanya, apa yang lebih penting adalah komitmen dari sektor perbankan untuk mempertimbangkan penyelesaian yang wajar bagi membantu setiap peminjam menstabilkan kedudukan kewangan masing-masing.

Katanya, ia juga menuntut kerjasama daripada rakyat dan perniagaan yang mampu untuk terus membayar balik pinjaman masing-masing mulai 1 Oktober ini.

"Langkah pertama ialah untuk peminjam menghubungi institusi kewangan atau bank masing-masing bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

"Permohonan boleh dibuat mulai 7 Ogos ini. Kerajaan berharap supaya peminjam dapat memanfaatkan langkah-langkah menerusi Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar ini demi kesejahteraan rakyat, perkembangan sektor perniagaan dan PKS, serta pemulihan ekonomi negara kita," katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/716073/bantuan-bank-bersasar-tumpu-empat-golongan