KOTA KINABALU: Kerajaan menyasarkan kosong kompaun dikeluarkan dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sepanjang 2019.Dalam pada itu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata semua peniaga harus mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).“Saya menasihatkan kepada semua peniaga untuk bekerjasama untuk tidak menaikkan harga barangan atau perkhidmatan menjelang musim-musim perayaan utama dalam negara.

“Peniaga perlu mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 yang mana peniaga tidak boleh mengambil untung secara tidak munasabah serta perlu meletakkan tanda harga ke atas barangan yang dijual,” katanya selepas melancarkan program SKim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2019 di Pasar Raya CKS Manggatal pada Khamis.Katanya KPDNHEP telah mengenal pasti 13 jenis barangan bagi pelaksanaan SKHMP Tahun Baru Cina 2019 seperti ayam, telur ayam, sayuran, barangan kering, hasil laut dan daging khinzir.

Jelasnya kesemua barangan itu mendapat permintaan yang tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan.“Oleh itu, kawalan harga yang dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran.“Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga.“Bagi membendung kenaikan harga ini, KPDNHEP akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga yang menaikkan harga barangan mereka,” jelasnya.Katanya tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim tersebut.

Menurutnya peniaga individu akan didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 jika melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.“Bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan terkawal pula akan didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu.“Syarikat, boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Katanya tempoh berkuat kuasa bagi skim tersebut adalah selama 10 hari iaitu enam hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tiga hari selepas hari perayaan.Tambahnya KPDNHEP juga telah mengarahkan seramai 190 anggota dan 87 pegawai bagi membuat pamantauan aktiviti-aktiviti pencatutan harga barangan.Sementara itu, Stephen berkata pada 2018, KPDNHEP telah menjalankan sebanyak 8,709 operasi seluruh negeri dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.Jelasnya daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 kompaun telah dikeluarkan oleh KPDNHEP kerana gagal meletakkan tanda harga pada barangan jualan peniaga. -SabahNewsToday