WARKAH luahan rasa petani, peladang, penternak dan nelayan disampaikan Wak Ibas ketika Pelancaran Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani: Prioriti&Strategi 2019-2020, amat menyentuh perasaan.Ia menggambarkan realiti kehidupan dan tekanan golongan terbabit bagi meneruskan kehidupan. Dengan sisa hidup dimiliki, mereka setia menyumbang kudrat bagi menjamin keselamatan bekalan makanan negara, walaupun dibebani kekangan. Ia juga gambaran sebenar industri pengeluaran makanan negara. Hala tuju dilancarkan itu menggariskan keutamaan dan strategi bagi merancakkan sektor pertanian agar lebih berdaya saing.Ia ditunjangi lima hala tuju utama dan disokong 18 strategi dan 51 inisiatif, yang dirangka berasaskan tiga dimensi sektor agro makanan iaitu keselamatan makanan negara, ekonomi pembangunan luar bandar dan pelaburan swasta serta perdagangan antarabangsa.

Dalam menjamin keselamatan makanan, industri padi dan beras terus diberi perhatian sebagai komoditi utama dengan soal kehilangan padi lepas tuai dilihat ancaman besar, di samping perubahan iklim, ketidakstabilan harga input dan hasil pertanian serta serangan penyakit dan serangga.Kehilangan padi lepas tuai dianggar 7.9 peratus atau 205,000 tan pada 2016 berdasarkan kajian MARDI. Ia menyamai RM246 juta dan memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara. Justeru, pengendalian hasil lepas tuai diperkukuh, bagi meminimumkan kerugian.

Jaminan keselamatan makanan

Kegagalan mengurus sistem pengairan dan saliran secara cekap mengakibatkan kerosakan tanaman. Jadi kementerian akan membangunkan prosedur operasi standard (SOP) peringkat nasional bagi Kumpulan Pengguna Air (KPA), manakala audit air akan dilaksanakan untuk memastikan penggunaan pengairan pertanian cekap.Untuk memastikan tanaman padi mempunyai daya tahan tinggi, pembangunan padi hibrid, padi wangi dan padi myGap dipastikan berterusan. Varieti padi baharu juga akan dipastikan mempunyai rintangan tinggi ke atas penyakit, dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti berpandukan masalah dan isu setempat.Bagi menjamin keselamatan makanan, pembangunan tanah ahli peladang dan petani secara berpusat melalui pengurusan Pertubuhan Peladang, akan diteruskan.

Keseluruhan bank tanah tidak diusahakan akan dicadang kesesuaian untuk projek pertanian, manakala pembangunan komersial ke atas tanah pertanian perlu dilindungi. Syarat penukaran tanah pertanian kepada tanah industri pula perlu diperketat, dengan kawasan pengeluaran makanan diwartakan agar tidak diganggu-gugat pelan pembangunan dirancang.Ketiadaan generasi pelapis dalam industri turut diutamakan, dengan hala tuju menggariskan langkah menjadikan bidang agromakanan sebagai kerjaya pilihan. Ini termasuk memberi perhatian kepada Program Agropreneur Muda yang menyasarkan mereka berusia antara 18 hingga 40 tahun.Bagi mengelak petani terus bergantung kepada orang tengah, kementerian menekankan penyediaan ruang pasaran baharu khususnya peringkat runcit agar usahawan tani mendapat margin keuntungan lebih tinggi dan memahami kehendak pengguna.

Fungsi PPK dan PNK

Pembabitan petani dalam industri hiliran akan diperkasa melalui inisiatif pembangunan usahawan seperti Program Geran Pemadanan, Pembangunan Pusat Pemprosesan, Pembangunan Modal Insan serta Pembangunan dan Penjenamaan Produk.Pada masa sama, projek pertanian rakyat seperti Projek Pembangunan Kluster Tanaman, Projek Tanam Semula Buah-Buahan Terpilih, Projek Pembangunan Ladang Organik dan sebagainya, turut digariskan dalam hala tuju kementerian ini.Pembangunan model baharu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) pula tepat masanya. Pengkhususan PPK kepada perniagaan satu komoditi sahaja, sama ada pengeluaran tanaman, ternakan, pemasaran, logistik atau industri asas tani, dilihat langkah mempercepatkan transformasi sektor pertanian.

Penempatan pegawai kompeten dan mahir dalam bidang perniagaan, akan memberi kelebihan kepada PNK. Peranan PPK dan PNK sebagai koperasi untuk mengurus kebajikan petani dan nelayan pula perlu dipertingkat supaya kedua-dua entiti terbabit berupaya menjana keuntungan dan memberi pulangan maksimum kepada golongan sasar.Umumnya, pelaksanaan hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuka nafas baharu. Pasti pencapaian dan kekangan dalam pelaksanaan hala tuju ini akan dijadikan petunjuk dan input dalam memperkukuhkan Dasar Agromakanan Negara 2.0.Penulis adalah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM)