Kedatangan Ramadan bukan sahaja disambut berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia, malah dalam masa sama, turut mengubah corak pembelian dalam talian. Kita lihat data pada 2018 yang menunjukkan pengguna membeli-belah dalam talian semakin meningkat dan perbezaan trend pembelian di Malaysia dan Indonesia.

Membeli-belah pada waktu sahur

Semasa Ramadan, rakyat Malaysia dan Indonesia ba­ngun pada awal pagi untuk bersahur. Menurut data, mereka lebih cenderung membeli-belah dalam talian pada waktu itu.Analisis kami pada 2018 merekodkan trafik dalam talian pada pukul 5 pagi meningkat 105 peratus di Malaysia dan 345 peratus di Indonesia berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.Peningkatan ini jauh lebih tinggi di Indonesia kerana mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia. Ini adalah trend berterusan seperti yang dilihat dalam kajian kami pada tahun-tahun sebelumnya.Di Malaysia, peningkatan trafik dalam talian jauh lebih tinggi berbanding dengan kajian kami pada tahun sebelumnya, yang mana kami hanya melihat kenaikan 90 peratus trafik dalam talian pada pukul 5 pagi.

Ini menunjukkan peningkatan minat terhadap produk dalam talian. Trend ini dijangka menyaksikan lebih banyak minat pada tahun ini kerana jualan dalam talian menjadi lebih menarik dalam kalangan pengguna hari ini.Terbukti trafik dalam talian semasa Ramadan di kedua-dua negara jauh lebih tinggi berbanding tempoh sebelumnya. Keseluruhan trafik dalam talian adalah 11 peratus lebih tinggi di Malaysia dan 30 peratus lebih tinggi di Indonesia.Di samping itu, trafik dalam talian di kedua-dua negara mengalami penurunan pada pukul 7.00 malam di Malaysia dan 6.00 petang di Indonesia kerana ramai sedang membuat persediaan berbuka puasa.Trafik dalam talian menurun sembilan peratus di Malaysia dan penurunan empat peratus di Indonesia pada tempoh itu. Selepas Terawih, trafik dalam talian di kedua-dua negara akan meningkat semula dengan kemuncaknya sehingga pukul 10.00 malam.

Jenama fesyen dalam talian popular

Produk fesyen adalah antara barangan yang paling dicari semasa Ramadan memandangkan berjuta-juta rakyat Malaysia dan Indonesia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.Dengan menggunakan Google Trends, kami melihat kata kunci seperti ‘Baju Raya’ & ‘Baju Raya 2018’ adalah antara paling popular berkaitan dengan ‘Raya’ di Malaysia pada tahun lepas.Sama seperti tahun sebelum­nya, jenama fesyen pada 2019 akan menjalankan kempen jualan sebagai persediaan untuk Hari Raya. Empat jenama e-dagang fesyen tempatan yang paling dicari di Malaysia pada Ramadan 2018 adalah:-

- Naelofar Hijab

- FashionValet

- MuslimahClothing.com

- Siti Khadijah

Pada tahun ini, kita berharap dapat melihat jenama yang berbeza dalam pasaran fesyen e-dagang kerana peningkatan persaingan antara pelbagai syarikat. Ini bagus kerana pengguna yang membeli-belah untuk Hari Raya mempunyai akses kepada pelbagai tawaran dan produk yang lebih luas.Di Indonesia pula, terdapat banyak minat dalam Google untuk ‘gamis’, ‘hijab’ dan ‘baju muslim’. Di samping itu, terdapat minat yang tinggi untuk ‘Baju Koko’, yang merupakan gaya tradisional untuk lelaki yang paling popular dipakai semasa Aidilfitri pada tahun lalu.

Trend carian unik

Dengan menggunakan Google Trends, terdapat minat yang tinggi untuk promosi tiket pe­nerbangan di Malaysia dan Indonesia sebelum Ramadan pada 2018. Ini selaras dengan trend tempatan kerana ramai akan pulang ke kampung untuk menyambut perayaan.Selain tiket penerbangan, kata kunci yang popular digunakan di Malaysia pada 2018 adalah berkaitan promosi pasar raya. Semasa Ramadan, biasa­nya terdapat permintaan tinggi untuk makanan ringan dan makanan seperti biskut serta makanan tradisional.Oleh kerana produk-produk tersebut biasanya terdapat di pasar raya besar, rakyat Malaysia secara aktif mencari tawaran promosi untuk memaksimumkan perbelanjaan.

Artikel oleh iPrice Group 
https://iprice.my