Sejak 25 Mei 2011, media telah melaporkan mengenai pencemaran di(2-ehtylhexyl)phthalate (DEHP) dalam beberapa produk makanan keluaran Taiwan. Produk-produk makanan yang terlibat adalah minuman sukan, jus buah-buahan, produk jeli, jem dan clouding agent, sejenis bahan aditif makanan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan terhadap laporan tersebut dengan melakukan pemerikan terhadap produk berkenaan.

Hasil daripada pemeriksaan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan penarikan balik terhadap produk yang telah disahkan tercemar oleh Food and Administration (FDA) Taiwan. Pengimportan produk makanan tersebut juga telah dilarang masuk ke negara ini.

Selain itu KKM juga melakukan pemantauan secara berterusan di pintu masuk dan di pasaran tempatan. Keputusan ujian terhadap sampel produk disiarkan di laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) iaitu http://fsq.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia memberi nasihat kepada pengguna supaya berhati-hati semasa membeli produk-produk seperti yang disenaraikan. KKM juga menasihati supaya orang ramai tidak membeli produk Oriyen Nutri Grow (boy) Orange Drink Premix dan Oriyen Nutri Grow (girl) Cranberry Drink Premix bertarikh pengilangan pada 13 Ogos 2010 dan tarikh luput pada 13 Ogos 2013, yang diedarkan oleh Cosway (M) Sdn. Bhd. yang disyaki dicemari oleh bahan kimia DEHP.

Para pengguna boleh melayari laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) iaitu http://fsq.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk minuman import dari Taiwan yang tercemar dengan di(2-ehtylhexyl)phthalate (DEHP), dan juga senarai produk makanan yang telah dianalisis dan didapati tidak dicemari dengan di(2-ehtylhexyl)phthalate (DEHP).

Vanitha Vasu
Forum Air Malaysia