Satu peraturan baru telah diwartakan di San Francisco, yang menjadikan ia sebagai bandar pertama di Amerika Syarikat yang menghalang pemberian alat mainan percuma melalui makanan segera yang dihidang kepada kanak-kanak.

Peraturan baru ini telah diluluskan dalam ordinan dengan undian 8-3. Peraturan diwujudkan akibat dariapda kebimbangan tentang kadar obesiti kepada kanak-kanak. Ia akan dikuatkuasakan pada 1 Disember 2011.

Menurut peraturan tersebut, restoran yang ingin membekalkan makanan kanak-kanak dengan alat mainan percuma perlu mematuhi standard pemakanan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa San Franscisco.

Pembangkang kepada peraturan ini adalah Persatuan Restoran Kebangsaan (National Restaurant Association) dan McDonald’s Corp, yang menggunakan alat mainan sebagai pelaris untuk memasarkan Happy Meal kepada kanak-kanak.

Peraturan San Francisco ini menghalang alat mainan diberikan secara percuma kepada kanak-kanak dengan makanan, melainkan makanan yang dihidang itu mengandungi kalori yang kurang daripada 600 unit, buah-buahan dan sayur-sayuran, serta mempunyai minuman yang tidak mengandungi gula atau lemak yang berlebih-lebihan.

Penyokong kepada peraturan menunjukkan bahawa tujuan pelaksanaan peraturan ini adalah untuk mempromosikan corak makan yang sihat bagi menentang obesity kanak-kanak.

Michael Jacobson, Pengarah Eksekutif bagi Pusat Sains bagi Kepentingan Awam (Center for Science in the Public Interest) menyatakan bahawa syarikat makanan segera perlu berhenti mengeksploitasikan kanak-kanak hanya untuk pasaran yang lebih luas. Manakala, pendekatan ini menggariskan satu standard asas pemakanan bagi makanan yang dijual dengan alat mainan percuma.

Berdasarkan Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (U.S Center for Disease Control and Prevention), 55% daripada kanak-kanak di Amerika mengalami berat badan yang berlebihan atau kegemukan – yang menambahkan risiko bagi penyakit jantung, kencing manis dan kanser. Malah ada kadar obesiti kanak-kanak yang melebihi 30% di sesetengah negeri.

Pusat Sains bagi Kepentingan Awam telah memberi amaran kepada McDonald’s bahawa mereka akan didakwa jika mereka tidak memberhentikan pemberian alat mainan Happy Meal untuk menarik perhatian kanak-kanak ke restoran mereka.

Di Malaysia, berdasarkan statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, 60% rakyat adalah terlalu berat atau gemuk, dan yang lebih membimbangkan lagi, kanak-kanak yang gemuk juga meningkat secara mendadak.

Kegemukan atau obesiti akan mencetuskan pelbagai penyakit. Bagi mengelakkannya, amalkan corak kehidupan yang sihat – bersenaman dan mengambil diet seimbang.

Kesimpulannya, menghentikan tabiat mengambil makanan segera boleh mengurangkan kadar kegemukan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia