Pada setiap musim perayaan, pengguna seringkali menghadapi kenaikan harga bagi makanan keperluan seperti ayam. Pada minggu pertama bulan Puasa tahun ini, harga ayam meningkat dari harga RM 5.50 satu kilo (ayam standard) kepada harga RM 7.00 – RM 7.50 satu kilo. Di beberapa tempat harga pernah sampai sehingga RM 9.00 satu kilo.

Kenaikan harga ayam dihadapi bukan sahaja di Lembah Kelang tetapi di seluruh negara. Harga ayam di Batu Gajah, Perak dilaporkan RM 7.50 se kilo, di Bahau, Negeri Sembilan harga adalah RM 7.00 se kilo dan di Kg. Koh, Sitiawan dilaporkan harga RM 7.50 se kilo.

Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), melaporkan bahawa terdapat tiga faktor kenapa harga ayam naik pada musim perayaan tahun ini iaitu cuaca panas yang berpanjangan yang menyebabkan kesakitan pada ayam, pengharaman penjualan bijiran oleh Rusia yang menyebabkan harga makanan ayam meningkat dan faktor-faktor peningkatan permintaan.

Walau pun kita mengambil kira faktor-faktor tersebut, harga ayam masih boleh dianggap ssebagai dijual pada paras yang terlalu tinggi. Jelaslah bahawa pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan yang berlebihan dalam musim perayaan ini.

Amalan profiteering pada tahun ini bukan satu yang baru. Pada setiap tahun pada musim perayaan penjual akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang berlebihan dan dengan itu pengguna, khususnys pengguna berpendapatan rendah akan menghadapi kesusahan.

Menurut FLFAM pada setiap hari sejumlah 1.4 – 1.5 juta ayam dijual kepada pengguna.

Siapakah pihak yang mencari keuntungan yang berlebihan? Adakah amalan ini berlaku di peringkat penternak, di peringkat pemborong atau di peringkat peruncit? Jelaslah tidak ada satu pihak pun yang sanggup mengakui merekalah pihak yang mengambil kesempatan pada musim perayaan dan seterusnya menyalahkan pihak yang lain.

Yang lebih penting bagi kita sebagai pengguna ialah apakah harus dibuat oleh pihak berkuasa dan penggua sendiri untuk memastikan pihak tertentu tidak mengambil kesempatan semasa perayaan.

FOMCA mencadangkan beberapa tindakan pencegahan pada musim-musim perayaan akan datang:

FAMA harus campur tangan terus dalam pasaran pada musim perayaan. Pada musim perayaan FAMA harus membeli ayam terus daripada penternak dan jual kepada peruncit dengan mentapkan harga jualan. Oleh kerana merekalah pembekal ayam dan mengetahui harga yang sebenarnya, mereka boleh menetapkan margin keuntungan dan seterusnya harga jualan ayam.
FLFAM atau penternak ayam diberikuasa dan peluang untuk menjual terus kepada pengguna pada masa perayaan.
Kerajaan mengumumkan harga ceiling pada musim perayaan dan menguatkuasakan harga tersebut.
Sebagai tindakan jangka penjang kerajaan harus memastikan bahawa pada setiap peringkat rangkaian bekalan makanan (food supply chain) terdapat persaingan yang terbuka. Dalam rangkaian makanan tersebut tidak harus ada sebarang kesepakatan dalam pasaran atau pihak tertentu yang dapat kebaikan melalui perlesenan atau AP atau mengamalkan amalan jualan yang tidak etika. Amalan –amalan negatif ini akan membolehkan pihak tertentu untuk manipulasi harga dalam pasaran. Persaingan terbuka akan menentukan bahawa pengguna akan dapat harga dan kualiti yang terbaik.
Sebagai langkah jangka panjang, FAMA harus memperbanyakkan dan memperkukuhkan system Pasar Tani seluruh negara, Ini akan membolehkan petani dan penternak untuk menjual hasil mereka terus kepada pengguna. Dalam Pasar Tani kedua-dua petani dan pengguna untung kerana dua-dua dapat harga yang terbaik.

Kerajaan harus juga melabor dalam pertanian untuk mengurangkan impot makanan dan menjamin keselamatan makanan pada jangka panjang. Pengguna juga harus sanggup membayar lebih untuk makanan untuk memastikan industri makanan di Malaysia akan menjadi satu yang viable dan mampan.

Pengguna harus sedar bahawa bukan sahaja harga makanan adalah penting, keselamatan makanan (food security) juga harus diberi keutamaan.


Dato' Paul Selvaraj
CEO FOMCA