500 ribu telur telah ditarik balik di Amerika Syarikat semenjak kebelakangan ini akibat daripada tercemar oleh mikroorganisma yang berbahaya.

Lebih daripada 1,000 orang telah jatuh sakit kerana mengambil telur yang tercemar ini. Jumlah mangsa dijangka semakin meningkat di Amerika Syarikat.

Wright Country Egg of Galt telah mengumumkan penarikan balik telur keluaran ladang mereka kerana dicemari oleh Salmonella. Ujian makmal telah membuktikan pencemaran Salmonella dalam telur yang ditarik balik itu.

Telur yang dibungkus di bawah jenama Albertsons, Farm Fresh, James Farms, Glenview, Mountain Dairy, Ralphs, Boomsma, Lund, Kemps dan Pacific Coast terlibat dalam penarikan balik ini.


Antara jenama yang disenaraikan itu, Farm Fresh merupakan jenama telur yang dijual di Malaysia.

Menurut pegawai Food and Drug Administration, strain yang mengakibatkan pencemaran telur adalah salmonella enteritidis.

Punca pencemaran mungkin daripada kontaminasi tikus dan makanan ayam. Ladang yang terlibat mempunyai masalah tikus. Mungkin terdapat ayam atau makanan ayam yang tercemar dengan Salmonella.

Bakteria Salmonella tidak menjangkit daripada ayam kepada ayam, tetapi mungkin disebar daripada tahi tikus kepada ayam. Bakteria ini biasanya dijumpai di ovari ayam dan akan memasuki telur ayam.

Gejala jangkitan Salmonella adalah cirit-birit, kejang perut dan demam panas yang berlaku dalam tempoh 8 jam hingga 72 jam selepas mengambil makanan yang dijangkiti Salmonella. Ia mungkin akan membawa maut terutamanya kepada orang yang mempunyai system keimunan yang lemah.

Dr. Christopher Braden, epidemiologis daripada Federal Centers for Disease Control menyatakan bahawa ayam yang sihat mungkin akan menyebarkan bakteria ini kepada ayam yang lain, ia mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala pada ayam, tetapi ia akan berkembang dalam telur.

Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dengan telur yang diimport atau makanan yang berasaskan telur dari Amerika Syarikat. Sekiranya terdapat sebarang jenama atau gejala penyakit yang tersenarai di atas dijumpai, melaporkan kepada pihak berkuasa Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan di 03-8885 0600 talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

 


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia