Mac 21, 2023 @ 7:38pm
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara mahu lebih banyak pembabitan agensi, pemain industri serta penyelidik untuk memberikan input yang mempunyai kaitan keterjaminan makanan dalam usaha mengurangkan kebergantungan import makanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata daripada cadangan itu, tindakan lebih agresif akan dirangka untuk menaikkan kapasiti pengeluaran makanan serta menggalakkan pengambilan makanan yang dihasilkan oleh rakyat tempatan.

"Konflik Russia-Ukraine memberikan kesan langsung terhadap bekalan makanan dan industri ternakan apabila bijirin (makanan haiwan) sukar diperoleh, jadi tumpuan, bagaimana kita boleh menanam sendiri tanaman untuk keperluan ternakan tempatan.

"Bagaiamanapun pada masa sama, kita melihat kepada kajian terperinci dan hasil alternatif lain yang dihasilkan dalam negara untuk makanan haiwan, adakah ia ada atau sebaliknya, jika mahu tanam jagung, siapa akan terbabit, benih tanaman serta perkara berkaitan lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang pertama tahun ini di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut dipengerusikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu serta dihadiri 50 wakil antaranya Ketua Setiausaha daripada pelbagai Kementerian, Ketua Pengarah Jabatan atau Agensi Kerajaan, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemain industri.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), berkata hasil mesyuarat yang diperoleh hari ini akan dibawa ke mesyuarat yang bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka dilakukan April atau selepas Aidifitri.

"Kementerian diterajui saya akan memainkan peranan bersama untuk membangunkan sektor agromakanan melalui pelbagai inisiatif seperti integrasi ladang komoditi dengan ternakan atau tanaman kontang dan sumber makanan ternakan alternatif seperti Palm Kernal Expeller (PKE) dan Palm Kernel Cake (PKC).

"Justeru dalam hal ini, strategi untuk mengurangkan ketergantung am terhadap import makanan yang memerlukan kerjasama semua pihak terutama petani, nelayan, penternak, industri, persatuan dan NGO," katanya.

Mesyuarat jawatankuasa terbabit turut membincangkan mengenai Kertas Pembentangan Khas Struktur Tadbir Urus Sekuriti Makanan Negara dan Inisiatif Quickwins Pemantapan Produktiviti Bekalan Makanan Negara oleh KPKM.

Selain itu, ia membincangkan mengenai Kertas Pertimbangan bagi Pelaksanaan Program Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pemasaran Agromakanan (SISDA) oleh FAMA dan Kertas Makluman bagi Kawalan Import dan Eksport Keluaran Pertanian oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Turut dibincangkan mengenai pembentangan Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1080134/kerajaan-mahu-lebih-banyak-pihak-terbabit-dalam-sekuriti-makanan