Ditikam 16 kali, wanita setuju kahwini kekasih - Sinar HarianSUBANG JAYA - Kerajaan memberi jaminan bantuan bekalan gula akan diberikan dalam tempoh beberapa jam setelah menerima aduan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan segera itu diambil bagi memastikan bekalan gula di seluruh negara mencukupi.

Menurutnya, orang ramai perlu menyalurkan aduan kepada kementeriannya dan bantuan akan terus diberikan di kawasan yang mengalami masalah bekalan.

"Kalau ada masalah, adukan kepada kita, dalam tempoh masa beberapa jam sahaja kita akan hantar bekalan.

"Kita ada terima (masalah bekalan di Limbang), tapi kita hantar terus bekalan ke sana," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah sempena kempen 'Kasih Sayang Ibu dan Si Manja' anjuran Mydin yang diadakan di Mydin Subang Jaya, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masalah kekurangan bekalan gula yang dilaporkan berlaku di beberapa tempat seperti di Limbang, Sarawak.

Pada 15 Julai lalu, Salahuddin menafikan negara berdepan masalah kekurangan bekalan gula tempatan ketika ini.

Jelasnya, tindakan kerajaan meluluskan 37 syarikat bagi mengimport 285,700 tan metrik bekalan gula putih bukanlah penanda aras atau kayu pengukur masalah bekalan gula tempatan.

Usaha itu katanya, dilakukan bagi mendukung industri gula negara, selain memastikan kestabilan bekalan terus terjamin.