TELUK INTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan untuk mengedar 2,000 tan metrik beras putih tempatan (BPT) ke seluruh negara setiap bulan.

Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, pengedaran dilaksanakan di 35 pusat operasi Fama selain 416 outlet usahawan bimbingan Fama, 102 lokasi Jualan Agro Madani dan 726 kedai runcit terpilih.

“Sehingga kini, sejumlah 1,321.6 tan metrik BPT bernilai RM3.37 juta dan 132,160 kampit BPT seberat 10kg diedarkan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program “Go Cashless” di Agrobazaar Rakyat Mat Frozen di Kampung Padang Tembak.


“Kita berjaya laksanakan (pengedaran) BPT ini hingga 90% di seluruh negara dan ia tertakluk kepada bekalan stok yang ada. Setakat ini, kita tidak ada masalah dengan pembekal.”

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu semasa sesi penerangan di Dewan Rakyat Isnin lepas berkata, Fama dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah diarahkan untuk meningkatkan pengedaran BPT ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar, termasuk kedai runcit.

Katanya, memandangkan margin jualan BPT hanya sebanyak 50 sen bagi kampit 10kg pada peringkat runcit, kerajaan bersetuju menyalurkan kos pengangkutan kepada pihak Fama dan LPP bagi pengedaran BPT.