CHERAS : Golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini akan terus diperkasa dan dibela menerusi Pelan Induk Aksesibiliti.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mesyuarat yang dipengerusikannya 13 November lalu telah bersetuju mengambil beberapa pendekatan terhadap golongan berkenaan.

"Perkara tersebut juga dijangka akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) yang akan datang.

"Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) juga telah mencadangkan peluasan perkhidmatan e-hailing kepada OKU.

"Mesyuarat juga bersetuju akan cadangan pendidikan inklusif diadakan di semua sekolah di peringkat negeri bagi memberi peluang kepada pelajar OKU menikmati peluang pendidikan yang inklusif," jelasnya.

Katanya, turut dicadangkan ialah kerja menaik taraf infrastruktur sekolah menepati ciri-ciri menyeluruh yang mengambil kira kebajikan OKU.

Malah kata Wan Azizah, industri pelancongan mesra OKU juga akan diperkenalkan bagi memangkin ekonomi negara.

Tidak terlepas kepada golongan OKU yang ingin mencari pekerjaan yang sesuai, menerusi portal khas iaitu SpecialJobs.com.my yang akan diperkenalkan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari OKU 2018 anjuran Majlis Paralimpik Malaysia. pada Ahad.