KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur telah melaksanakan sebanyak 1,311 serbuan membabitkan jenayah dalam talian sejak Januari hingga September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya juga telah membuka sebanyak 71 kertas siasatan membabitkan tangkapan seramai 855 individu dalam serbuan di 'calling centre' sejak Januari lalu.

"Dalam tempoh dua bulan, kita menahan 343 individu dalam 20 serbuan 'calling centre' yang beroperasi di kondominium mewah di ibu kota," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

    Allaudeen berkata, badan pengurusan bersama (JMB) serta pengawal keselamatan setiap kondominium perlu bertanggungjawab dan melarang sebarang aktiviti 'calling centre' di premis berkenaan.


"Kita juga akan melaksanakan pemeriksaan terhadap pengawal keselamatan yang dipercayai bersubahat dengan sindiket penipuan dalam talian.

"Kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi lubuk sindiket penipuan dalam talian, ia memberi imej buruk kepada kita," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Allaudeen berkata, pihaknya turut melaksanakan serbuan secara berterusan ke atas pusat hiburan yang menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO).

"Saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah untuk melaksanakan Ops Noda ke atas pusat hiburan berkenaan yang menggajikan pekerja asing tanpa permit, melanggar syarat atau tiada kelulusan daripada pihak berkuasa," tegasnya.