KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti semula undang-undang sedia ada membabitkan hak pembeli yang ditipu menerusi transaksi dalam talian.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata kementerian mendapati wujudnya kesulitan daripada Tribunal Pengguna untuk mengambil tindakan kepada penjual yang menipu dalam talian.

Katanya, pada masa ini, setiap aduan yang disiasat kementerian memerlukan prasyarat, yang mana notis perlu dihantar secara fizikal kepada penjual diadu.

“Jika transaksi berkenaan membabitkan entiti perniagaan, notis itu boleh dihantar dengan mudah tetapi apabila ia membabitkan individu, kementerian berhadapan dengan kekangan untuk mengesan mereka.

“Itu adalah kelemahan dalam sistem yang ada dan saya sudah meminta pegawai kementerian bersama-sama dengan penasihat undang-undang untuk meneliti semula klausa undang-undang sedia ada.

“Di samping itu, saya juga meminta peserta industri untuk tampil membantu kementerian dalam mencari penyelesaian kepada isu ini kerana mereka mempunyai pengalaman dalam bidang ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen perayaan Shopee Kongsi Fa Cai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian juga menyaksikan peningkatan mendadak jumlah aduan yang diterima berhubung penipuan transaksi dalam talian.

“Jumlah aduan berkenaan berada di tangga kedua tertinggi selepas aduan kenaikan harga makanan dan minuman. Justeru, saya berpendapat isu ini perlu diberi tumpuan kerana ia membabitkan hak pengguna.

“Apabila pengguna mengeluarkan belanja untuk membeli barangan yang diingini, mereka harus mendapat barangan yang sama seperti yang dimahukan,” katanya.

Aplikasi mudah alih Shopee melancarkan kempen perayaannya yang bermula semalam hingga 6 Februari depan.

Ketua Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li berkata pihaknya kini berusaha membawa inovasi maju yang menjanjikan pengalaman beli-belah yang memudahkan pengguna.

“Sempena permulaan Tahun Baru Cina, kami turut bekerjasama dengan tujuh jenama baharu yang melancarkan kedai rasmi mereka di Shopee.

“Jenama berkenaan termasuklah MSI, Logitech, Etude House, Crocs, ELLE, Anmum dan World of Sports. Menerusi kedai rasmi mereka di Shopee, jenama berkenaan berpeluang mendekati 16 juta pelanggan kami,” katanya.