Penggunaan kerusi khas kanak-kanak adalah perlu untuk semua lapisan golongan masyarakat

Musim cuti sekolah telah bermula. Ramai ibubapa telah merancang percutian untuk anak-anak sempena cuti sekolah. Namun begitu, adakah ibubapa telah menyediakan kerusi khas kanak-kanak di dalam kenderaan demi keselamatan si kecil?

Perlu diingatkan, kita berkongsi jalan raya dengan pelbagai jenis kenderaan berat. Lebuh raya juga akan turut sesak dengan kenderaan ringan dan kenderaan berat pada musim cuti sekolah. Tiada sebarang sekatan untuk kenderaan berat seperti di musim perayaan. Mereka boleh masuk ke lebuh raya pada bila-bila masa. Terdapat banyak kes kemalangan kenderaan berat kononnya berpunca daripada masalah brek. Oleh sebab itu, ibubapa perlu menyediakan kerusi khas untuk anak-anak di dalam kenderaan masing-masing.

Anda mungkin dah cukup teliti dan berhati-hati ketika memandu di jalan raya tetapi anda tidak boleh mengawal tingkah laku pemanduan orang di sekeliling anda. Tambahan pula, kemalangan akibat kecuaian kenderaan berat boleh memudaratkan keselamatan penumpang kenderaan ringan. Termasuk dengan serpihan tayar-tayar celup yang berselerak di kawasan lebuh raya yang boleh mengganggu perjalanan anda. Oleh sebab itu, ibubapa perlu memastikan jaminan keselamatan anak-anak semasa di dalam kenderaan sepanjang perjalanan.

Untuk pemilihan kerusi khas kanak-kanak, ianya bergantung dengan berat dan saiz ketinggian, bukan pada umur. Ibubapa juga perlu memiilih kerusi khas kanak-kanak yang mempunyal label ECE R44 dan berwarna oren. Ibubapa perlu berhati-hati dalam memilih kerusi khas kanak-kanak kerana di pasaran Malaysia telah terdapat kerusi khas kanak-kanak tiruan dan tidak mematuhi standard keselamatan. Perkara ini boleh mengancam keselamatan kanak-kanak.  Sebaiknya anda beli kerusi khas tersebut secara fizikal di kedai-kedai yang sepatutnya supaya anda boleh tanya secara terus cara pemasangan yang betul dan juga untuk memastikan ketulenan kerusi khas tersebut.

Ibubapa juga perlu berwaspada dengan amaran berkenaan kerusi khas yang ditarik balik yang dikeluarkan oleh negara-negara luar kerana Malaysia masih belum mempunyai saluran yang betul untuk mengeluarkan amaran tersebut. Kerusi khas yang ditarik balik pada kebiasannya adalah kerana terdapat kesilapan teknikal pada produk tersebut di mana penggunaannya yang berterusan boleh mengakibatkan kemalangan kepada pengguna.

Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users) telah sedia maklum dengan kewajipan penggunaan kerusi khas kanak-kanak yang akan berkuatkuasa bermula tahun 2020. Oleh itu, Standards Users amat berharap jika pihak kerajaan dapat memberikan insentif cukai supaya kerusi khas kanak-kanak lebih murah dan mampu dimiliki oleh setiap golongan masyarakat. Golongan yang kurang mampu juga berhak untuk mendapatkan hak keselamatan bagi anak-anak kecil mereka.

 

NUR ASYIKIN AMINUDDIN

PERSATUAN PENGGUNA-PENGGUNA STANDARD MALAYSIA