Honda Malaysia KUALA LUMPUR: Honda Malaysia memanggil balik 77,708 unit kenderaan pelbagai model bagi tujuan penggantian pam bahan api, lanjutan daripada kempen sama yang dilaksanakan Jun tahun lalu.

Model Honda yang terbabit dengan kempen itu merangkumi kenderaan yang dipasang pada 2018 hingga 2020.

"Honda Malaysia memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi pelanggan terbabit. Kami telah memastikan semua jualan model semasa tidak terjejas dengan panggilan semula ini," katanya dalam satu kenyataan.

Model terbabit adalah Accord model 2018 dan 2019 masing-masing 512 dan 780 unit; BR-V model 2018 dan 2020 masing-masing 7,112 dan 6-unit; City model 2019 sebanyak 30,388 unit; City (HEV) model 2019 sebanyak 390 unit.

Selain itu, Civic model 2018 dan 2019 masing-masing 6,240 dan 2,776 unit; CR-V model 2019 dan 2020 masing-masing 9,843 dan 1,381 unit; HR-V model 2018 sebanyak 7,679 unit dan HR-V (HEV) model 2018 sebanyak 62 unit.

Turut terbabit ialah Jazz model 2019 dan 2020 sebanyak 5,791 dan 4,626 unit serta Jazz (HEV) model 2019 dan 2020 masing-masing 92 dan 30 unit.

Menurut Honda Malaysia, panggilan semula itu adalah langkah pencegahan untuk mengatasi kemungkinan terdapat kesukaran bagi menghidupkan enjin, kehilangan kuasa enjin atau kenderaan terhenti kerana pam minyak yang rosak.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan susulan isu berkenaan di Malaysia.

"Semua pelanggan Honda yang terbabit akan dimaklumkan menerusi surat notifikasi, termasuklah perincian mengenai panggilan balik ini.

"Pelanggan juga boleh menyemak sekiranya kereta mereka terbabit dengan panggilan balik pam bahan api ini menerusi aplikasi HondaTouch," katanya.

Honda Malaysia turut menggesa pelanggan yang terbabit segera menghubungi mana-mana pengedar Honda bertauliah untuk membuat temujanji sebaik sahaja menerima notifikasi bagi menggantikan pam bahan itu, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti terbabit.

"Penggantian pam bahan api ini adalah percuma dan semua kos berkaitan akan ditanggung oleh Honda Malaysia," katanya.

 

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2021/04/811658/honda-malaysia-panggil-balik-77708-kereta