Jun 13, 2021 @ 7:06pm
ALOR SETAR: Seorang tukang besi kerugian RM179,154.64 akibat diperdaya sindiket pelaburan belian barangan secara dalam talian selepas menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp menawarkan pemulangan wang dilaburkan berserta komisen bagi barangan dibeli menerusi satu platform popular jualan dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata dalam kejadian Rabu lalu, mangsa berusia 27 tahun itu membuka pautan mesej yang diterimanya menerusi WhatsApp pada jam 9.15 malam, sebelum dia diminta menghantar skrin tangkap layar gambar barangan dipaparkan kepada nombor telefon diberikan.

"Mangsa ditawarkan habuan ke atas pembelian barangan iaitu kononnya akan mendapat kembali wang dilaburkan, selain komisen.

"Sebanyak empat pautan dikaitkan dengan satu platform jualan barangan secara dalam talian yang popular itu diberi kepada mangsa.
"Mangsa mula mempercayai tawaran itu selepas menerima semula wang pembelian barangan dan komisen pada 9 Jun lalu atas tiga transaksi pembayaran dibuat pada peringkat awal ke dalam akaun Hong Leong Bank.

"Ketika itu, mangsa mendapat semula wangnya iaitu RM73.30 dengan komisen RM3.65; RM783.10 dengan komisen RM39.15 dan RM469.80 serta komisen RM23.49.

"Ia seolah-olah menunjukkan mangsa mendapat barangan dibelinya itu secara percuma yang kemudian ditambah dengan bayaran komisen," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, tertarik dengan tawaran diperoleh itu, mangsa kemudian melakukan enam lagi transaksi pembayaran secara dalam talian pada 10 hingga 12 Jun ke dalam tiga akaun berbeza berjumlah RM179,154.64 menggunakan wang simpanannya untuk mendapatkan keuntungan.

"Bagaimanapun, wang pelaburan dan komisen dijanjikan tidak diterima selepas itu, malah mangsa diminta membuat bayaran tambahan jika ingin mendapat kembali wang itu.

"Menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis semalam di Balai Polis Kota Setar dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pembantu kedai berusia 29 tahun kerugian RM120,000 selepas diperdaya sindiket penipuan menggunakan modus operandi sama.

Mangsa diperdaya pada 31 Mei lalu selepas membuat pembelian barangan dalam talian untuk mendapat kembali wang pelaburan disertakan komisen.

Elias berkata, mangsa membuat laporan polis pada 4 Jun lalu apabila pembayaran kali ketiga dilakukannya berjumlah RM119,897 yang dibuat ke atas lima akaun bank berbeza tidak mendapat sebarang komisen dan wang tidak dikembalikan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/06/827408/2-mangsa-rugi-ditipu-sindiket-beli-barang-online