Pelajar universiti yang menjadi ejen sindiket skim cepat kaya dalam kampus, berdepan tindakan tegas mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Pindaan 2012).

Mengikut Seksyen 15A AUKU, pelajar secara individu atau pertubuhan, badan atau berkumpulan, dilarang daripada memungut wang.

Jika disabitkan kesalahan dengan perbuatan itu, mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz, berkata pihaknya sudah mengeluarkan pekeliling ‘mengharamkan’ pembabitan pelajarnya dalam kegiatan seumpama itu.

 

Enggan Ramai Jadi Mangsa

“UTM mengambil usaha mengetatkan penguatkuasaan berkaitan MLM dalam kalangan pelajar kerana tidak mahu lebih ramai membabitkan diri sehingga berisiko menjadi mangsa dan kerugian, selain hilang tumpuan hingga menjejaskan pengajian.

“Biarpun sudah lama sedar kewujudan sindiket MLM merekrut pelajar sebagai ahli, ketiadaan bukti kukuh atau sikap mangsa tidak tampil membuat pengesahan mengenai kerugian dialami, menyukarkan tindakan diambil,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau mengulas pendedahan BH mengenai sindiket yang berselindung di sebalik penganjuran seminar dan program keusahawanan untuk memerangkap pelajar bagi mengaut keuntungan menerusi pendaftaran peserta sebagai ejen MLM.

Pelajar yang dijadikan ejen, diarah menarik lebih ramai rakan sekampus, khususnya pelajar baharu, untuk menyertai skim yang ditawarkan dengan bayaran pendaftaran antara RM3,000 hingga RM6,000 seorang.

Mohd Ismail berkata, pembabitan dalam skim seumpama itu juga membawa risiko besar kepada pelajar termasuk kerugian wang, hutang keliling pinggang, tekanan perasaan, hilang fokus kepada pelajaran dan lebih membimbangkan gagal menamatkan pengajian.

Katanya, UTM juga menyediakan program keusahawanan dan pelaburan secara bijak yang boleh disertai oleh pelajar tanpa perlu menyertai seminar yang dianjurkan pihak tidak bertanggungjawab bagi menambah pengetahuan.

“Pelajar perlu matang dan bijak membuat keputusan serta pilihan risiko bisnes yang mahu disertai. Sogokan kononnya mampu kaya dan mewah seperti didakwa oleh sindiket seumpama itu adalah tidak logik kerana tiada jalan mudah menempah kejayaan,” katanya.

 

Pantau Aktiviti Haram

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Shatar Sabran, berkata pihaknya juga melaksanakan pemantauan yang lebih ketat dan tegas bagi mengelak anasir MLM dalam kampus.

“Aktiviti merekrut pelajar universiti menyertai skim seumpama ini untuk menjana keuntungan secara menipu adalah aktiviti tidak sihat yang memberi impak negatif, bukan sahaja kepada pelajar malah kepada nama baik universiti sendiri.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata pihaknya sudah melaksanakan pelbagai program termasuk kempen kesedaran mengenai bahaya skim cepat kaya dan MLM di kampusnya seluruh negara.

Sumber : Berita Harian - 20 September 2016 (Selasa)