Penurunan harga minyak dan gas telah memberi peluang keemasan kepada kerajaan untuk membetulkan polisi tenaga yang ketinggalan zaman. 
Kebanyakan masa, penggubalan polisi ekonomi merujuk kepada keadaan semasa yang berlaku. Ahli-ahli politik biasanya akan berhujah dengan emosi mengenai perubahan kecil dalam sistem cukai atau pembelanjawan. Namun sekali-sekala, perubahan bersejarah mungkin berlaku. 

Bermula dengan pembukaan pasaran China oleh Deng Xiaoping pada tahun 1978 kepada Terapi Kejutan (Shock Therapy) di Poland pada tahun 1990, ahli-ahli politik yang berani telah mengambil kesempatan tersebut untuk mengubah nasib negara mereka. Kesempatan keemasan tersebut telah muncul dalam keadaan dunia yang berlaku sekarang ini.  

Harga minyak yang menjunam, berikutan dengan pertumbuhan pesat dalam sumber tenaga bersih dan penjimatan tenaga, telah memberi satu peluang keemasan kepada

pemimpin dunia untuk merasionalisasikan polisi tenaga negara masing-masing. Mereka boleh menghapuskan subsidi yang menelan kos sehingga berbilion ringgit, terutamanya daripada sumber bahan api fosil kepada satu polisi sumber tenaga masa hadapan yang lebih murah dan mampan.

Sebab utama yang menyumbang kepada peluang yang optimis ini disebabkan oleh harga minyak yang menjunam. Bukan sahaja harga minyak telah menurun sebanyak 50% dalam masa 6 bulan, tetapi gas asli juga berada di paras yang paling murah dalam tempoh sepuluh tahun. Semua ini merupakan satu petanda bahawa harga minyak yang murah akan berlanjutan. Petanda ini juga diperkasakan oleh khabar angin tentang proses penggabungan besar antara syarikat-syarikat minyak bakal berlaku untuk mengelak muflis. 

Tanpa disedari oleh orang ramai, harga sumber tenaga yang lebih bersih juga sedang menurun dan teknologi yang masih membangun pesat telah membolehkan pengurusan penggunaan tenaga, terutamanya tenaga elektrik. Pembaziran tenaga dapat dikurangkan dan kos elektrik boleh diturunkan. Hampir berpuluh tahun, dunia bertungkus-lumus untuk menentukan bahawa adakah dunia masih boleh menghasilkan tenaga yang mencukupi. Sekarang, secara tiba-tiba, cabaran pada masa ini adalah bagaimana untuk menguruskan sumber tenaga yang berlebihan ini.

Kini, ahli-ahli politik perlu membuat keputusan untuk meningkatkan cukai ke atas bahan api fosil. Sebelum ini kebanyakan pemimpin dunia tidak ingin meningkatkan cukai tersebut atas alasan untuk menjaga perasaan pengundi, di samping mendakwa tindakan ini boleh menjejaskan ekonomi negara. Dengan harga petrol dan gas asli yang semakin murah ini, alasan itu telah lenyap. Cukai yang lebih tinggi akan mendorong penjimatan, menstabilkan pergolakan harga dan memberi peluang kepada kerajaan untuk menjana pendapatan.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, kerajaan itu telah mengenakan cukai sebanyak AS$5 sen setiap liter, satu angka yang tidak pernah disentuh sejak 1993. Melalui cukai karbon, ia akan memastikan syarikat-syarikat tenaga dan pengguna untuk menggunakan sumber tenaga yang lebih bersih. Dengan penurunan harga minyak sedunia, cukai karbon telah menjadi sesuatu yang tidak menakutkan kepada ahli-ahli politik. 

Bagi menjamin sumber tenaga yang berterusan, kerajaan perlu menggalakkan pertumbuhan pasaran tenaga dunia. Halangan-halangan tidak adil yang dikenakan ke atas pelaburan tenaga adalah sama penting dengan mengurangkan subsidi. Sekiranya semua langkah ini diambil, ia akan membawa negara ke arah masa hadapan yang lebih cekap tenaga dan bersih. Jadi, mesej yang ingin disampaikan kepada semua pemimpin dunia adalah mudah sahaja. Bertindaklah sekarang!

 

 




Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)