Pergerakan pengguna baru sahaja kehilangan seorang aktivis pengguna tegar, iaitu Ismail Abdul Aziz yang meninggal dunia pada 27 Mac 2013 kerana penyakit jantung. Ismail Abdul Aziz, 52 tahun, adalah Pengerusi Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling, yang merupakan ahli Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Ismail Abdul Aziz mula terlibat dengan persatuan pengguna pada awal tahun 1980-an. Ketika itu, beliau telah berkenalan dengan Bishan Singh Bahadur, seorang aktivis sosial. Apabila Bishan Singh menjadi presiden Persatuan Pengguna Pahang pada tahun1984, beliau telah menawarkan Ismail untuk bersama-samanya bekerja sepenuh masa di Persatuan Pengguna Pahang. Ismail yang ketika itu berkhidmat dengan Jabatan Pendidikan Pahang telah meletakkan jawatannya kerana terpikat dengan semangat Bishan Singh, yang juga ketika itu telah meletakkan jawatan sebagai guru.

Di Persatuan Pengguna Pahang, Ismail terlibat dalam mewujudkan cawangan Persatuan Pengguna Pahang di peringkat daerah, serta mengaktifkan cawangan yang sedia ada.


Pada tahun 1986, Bishan telah dipilih menjadi Presiden FOMCA. Meyakini dengan kebolehan Ismail, maka Bishan telah membawa Ismail bersama-samanya di FOMCA sebagai petugas sepenuh masa. Gabungan kedua-dua aktivis ini telah membangunkan FOMCA ke tahap yang dikenali ramai. Salah satu cadangan yang dikemukakan oleh Bishan bersama-sama beliau ialah penubuhan Pasar Tani, yang kemudiannya dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian Malaysia.

Selepas Bishan tidak lagi memimpin FOMCA pada  tahun 1988, Ismail telah berhijrah ke Negeri Sembilan untuk berkhidmat dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dengan pembangunan masyarakat luar bandar. Dalam masa yang sama, beliau turut bergiat aktif dalam Persatuan Pengguna Negeri Sembilan. Beliau pernah dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung FOMCA.

Pada pertengahan tahun 2000-an, beliau telah berkhidmat dengan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC). Bagi meneruskan legasi beliau dalam dunia kepenggunaan, beliau telah menubuhkan Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling pada tahun 2007. 

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Timbalan Setiausaha Agung, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer). Beliau juga ahli Majlis Gerakan Pengguna Negeri Selangor dan Pengerusi Gerakan Pengguna Daerah Petaling ketika akhir hayatnya. Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Al-Faatehah.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)