Kebanyakan pengguna di Malaysia masih belum mengetahui tentang saluran aduan yang sedia ada untuk sampaikan maklum balas mereka.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional berfungsi untuk menerima aduan yang berkaitan dengan pelbagai penyedia perkhidmatan dan produk pengguna.

Walaupun sebagai pengguna, anda mungkin tidak berpuas hati terhadap terhadap produk atau perkhidmatan, namun anda juga perlu mempunyai tanggungjawab dan nilai murni ketika membuat aduan.  

Memang pengguna mempunyai hak untuk membuat aduan. Namun pengguna juga perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mendapatkan maklumat dan membuat pilihan sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Namun demikian, sekiranya produk atau perkhidmatan itu mempunyai sebarang masalah, anda boleh membuat aduan secara bertulis  kepada syarikat pengeluar produk atau penyedia perkhidmatan. 

Pada masa ini boleh dikatakan hampir semua syarikat mempunyai pusat pelanggan yang menerima aduan dan terdapat pegawai yang bertanggungjawab untuk mengendalikan aduan tersebut. Sekiranya aduan anda tidak dapat diselesaikan sebagaimana yang anda harapkan, anda bolehlah memajukan aduan tersebut kepada agensi Kerajaan atau kementerian yang berkaitan, ataupun kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna (NCCC) untuk mendapatkan bantuan atau khidmat nasihat.

Untuk maklumat pengguna yang masih tidak mengetahui tentang fungsi atau had peranan NCCC, bahawa NCCC adalah sebuah badan sukarela yang tidak mementingkan keuntungan, yang memberikan bantuan khidmat nasihat dan mengendalikan aduan kepada pengguna secara percuma. Namun NCCC tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak dan mempunyai kemampuan sumber manusia yang terhad.

Perlu juga diingatkan bahawa bukannya semua aduan yang diterima itu akan memberikan  keputusan yang memihak atau menguntungkan pengguna semata-mata. Adakalanya keputusan yang diterima adalah dalam bentuk seperti  tindakan penguatkuasaan, pemulangan wang atau penukaran barang. Mungkin terdapat faktor luaran turut menyumbang kepada kesilapan yang berlaku tanpa disedari oleh kedua-dua pihak, yang memerlukan perbincangan yang dapat menyelesaikan rasa tidak puas hati dan sebagainya. 

Ini tidak bermaksud aduan anda tidak dapat diselesaikan atau tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh mana-mana pihak. Sekiranya aduan tersebut berdasarkan kepada sebarang percanggahan undang-undang yang berkaitan, maka aduan itu akan disalurkan kepada Kementerian atau badan yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya. Pengadu juga boleh memfailkan kes kepada Mahkamah Tuntutan Kecil atau Tribunal Tuntutan Pengguna atau Perumahan untuk pendengaran tuntutan.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)