Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) ingin memberikan penjelasan tentang kenyataan yang dibuat oleh Penasihat FOMCA, Encik Chua Kim Tee tentang perhimpunan Bersih 2.0.

FOMCA ingin memaklumkan bahawa kenyataan Encik Chua Kim Tee adalah pandangan peribadinya, bukannya pendirian rasmi FOMCA. Sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang bersifat non-partisan dan sivil, FOMCA berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rakyat berhimpun secara aman, bebas bersuara dan sebagainya. FOMCA juga berpegang kepada Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia, terutamanya Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan.

Kenyataan yang dibuat oleh Encik Chua Kim Tee telah menjejaskan kedudukan FOMCA seolah-olah tidak menyokong hak asasi manusia dan bersikap partisan. FOMCA seperti gagal memainkan peranan utamanya untuk melindungi kepentingan pengguna.

FOMCA tidak menyokong atau menghalang sebarang perhimpunan aman. Walaupun begitu FOMCA merasakan perhimpunan itu tidak perlu diadakan sekiranya perbincangan dapat dijalankan oleh semua pihak yang berkaitan serta kesediaan pihak yang dituntut untuk memenuhi tuntutan yang dibuat. 

FOMCA menyokong kenyataan yang dibuat oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sebelum ini yang meminta kerajaan membenarkan perhimpunan diadakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang sama FOMCA juga berharap perhimpunan ini tidak menimbulkan provokasi sehingga menimbulkan kekecohan, yang akhirnya memberikan kesan buruk kepada semua pihak, khususnya rakyat.

Terserahlah kepada seseorang individu untuk menyertai atau tidak perhimpunan itu. Jika ada dalam kalangan mereka yang menimbulkan gangguan atau provokasi, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap mereka. Namun seseorang warganegara itu mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan hak asasi mereka. Justeru, semua warganegara perlu diberikan pendidikan dan kesedaran tentang hak asasi manusia. Dalam dalam masa yang sama, mereka perlu bersedia untukmenghadapi tindakan jika menyalahgunakan hak tersebut.

Untuk makluman juga, FOMCA, melalui ahli gabungannya, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia) bergiat aktif dalam menjalankan program kesedaran hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan kepada komuniti, parti-parti politik dan sebagainya. Malah, ERA Consumer Malaysia, semenjak tahun  2001 sehingga kini, telah mengadakan sesi perundingan tentang SUHAKAM untuk membincangkan tentang keberkesanan SUHAKAM dalam memelihara hak asasi manusia di Malaysia. Suhakam telah ditubuhkan pada tahun 1999.

Setiausaha Agung FOMCA, Encik Muhammad Sha’ani Abdullah, pada masa ini adalah Ahli SUHAKAM. Begitu juga dengan mantan Presiden FOMCA, Prof. Datuk Mohd Hamdan Haji Adnan juga ahli Suhakam sebelum ini.

FOMCA juga menjelaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh FOMCA, khususnya tentang harga barang, subsidi dan sebagainya, adalah berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh FOMCA dan senario yang berlaku di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Walaupun mungkin kenyataan tersebut seolah-olah sependapat dengan kerajaan, namun ia tidak bermaksud FOMCA mewakili kerajaan dalam hal seperti ini. FOMCA berpegang kepada falsafah ”bekerjasama dengan kerajaan, tetapi bukan untuk kerajaan.”

Mohd Yusof Abdul Rahman
Pengarah Komunikasi Kumpulan
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)