Satu bengkel Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K) telah diadakan di bangunan Persatuan Song Kong, Seremban. Seramai 45 orang penduduk di sekitar Seremban telah menghadiri bengkel ini yang diadakan dalam bahasa Cina.

Topik yang dibentangkan ialah hak pengguna serta aduan dan ganti rugi. Sesi pembincangan telah diadakan selepas pembentangan bagi membolehkan para peserta mengutarakan pertanyaaan atau masalah yang mereka hadapi.

Antara masalah yang paling banyak diutarakan peserta ialah masalah timbangan di Seremban. Mereka mengadu bahawa penjaja di pasar telah melakukan penipuan ketika menimbang barang jualan mereka.  Mereka mendakwa ketika ditimbang di gerai, ia menunjukkan jumlah sukatan yang betul, tetapi bila ditimbang ditempat yang lain, bacaan timbangan lebih kurang daripada sepatutnya. 

Selain itu, mereka juga mendakwa jurujual telah memasukkan surat khabar yang basah ke dalam barang yang hendak ditimbang. Ini meningkatkan bacaan penimbang.

Umpamanya, seorang mak cik ingin membeli satu kilo udang. Semasa ditimbang di gerai tersebut, berat menunjukkan tepat satu kilo. Tetapi apabila beliau menimbang di tempat lain, berat udang tersebut kurang daripada satu kilo.

Untuk masalah ini, peserta dinasihatkan supaya menghubungi pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan yang selanjutnya. Peserta juga diminta untuk membuat surat dan menghantar ke Pusat Khidmat Aduan Pengguna National (NCCC).

Selain itu, terdapat juga aduan tentang kualiti produk yang dibeli. Pengadu telah membeli satu set HI FI dari sebuah kedai elektrik yang menjalankan jualan hebat. Namun, set HI FI itu telah rosak selepas beberapa minggu digunakan. Pengadu telah pergi semula ke kedai tersebut dan penjual memberitahu bahawa set HI FI itu adalah set terakhir. Oleh itu tidak ada stok gentian. Pekedai mendakwa set Hi FI itu boleh diperbaiki, tetapi caj pembaikan dikenakan. Selepas diperbaiki, set HI FI itu masih tidak berfungsi. 

Dalam kes ini, pengadu juga dinasihatkan supaya membuat aduan di cawangan KPDNKK di Seremban, atau boleh mendapatkan khidmat di NCCC.

Ada peserta yang mengadu tentang makanan yang tidak bersih di beberapa tempat di Seremban. Peserta dinasihati supaya jangan mengunjungi tempat makanan tersebut agar kesihatan mereka dijamin.

Selain daripada topik kepenggunaan, topik tentang kesihatan alam sekitar dan Hari Mencuci Tangan juga dibentangkan. Tujuan pembentangan topik ini ialah untuk meningkatkan kesedaran para peserta tentang kepentingan kebersihan diri bagi meningkatkan kesihatan umum dalam kalangan rakyat.

Laporan oleh:

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia