Pada minggu lalu, saya telah membeli sebotol 100 Plus dari Carrefour dengan harga yang tertera pada label botol sebanyak RM2.80. Saya fikir hanya RM2.80 yang saya perlu bayar. Tetapi apabila saya memeriksa resit bayaran, harga yang dikenakan adalah RM2.99.

Apabila bertanya dengan jurujual di kaunter, mereka tidak tahu-menahu mengenai harga yang berbeza itu.

Jadi, sayapun menghubungi dengan pegawai di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Saya dimaklumkan bahawa harga pada label adalah harga promosi. Selepas tempoh promosi tamat, mereka masih boleh menjual produk promosi tersebut dengan harga biasa.

Ini telah mengelirukan pengguna. Apa yang ditunjukkan pada label harga tidak sama dengan apa yang perlu dibayar. Selain itu, ia menyebabkan kerugian pengguna. Pihak penjual mendapat stok dengan harga yang lebih rendah semasa promosi. Selepas tempoh promosi tamat, stok tersebut dijual dengan harga yang mahal.

 

 

 

Dalam Akta Perlindungan Pengguna, seksyen 12, subseksyen 1, menyatakan:
“Seseorang adalah melakukan suatu kesalahan —
(a) jika dia memberi seseorang pengguna gambaran yang mengelirukan mengenai harga yang padanya apa-apa barang atau perkhidmatan boleh didapati;” atau
“(b) jika sesuatu gambaran yang diberikan olehnya kepada seseorang pengguna mengenai harga yang padanya apa-pa barang atau perkhidmatan boleh didapati menjadi mengelirukan dan dia tidak mengambil langkah yang munasabah untuk menghalang”

Jika berdasarkan peruntukan akta tersebut, saya berpendapat pihak pekedai telah melakukan satu kesalahan dari segi undang-undang kerana telah mengelirukan saya dengan tanda harga yang berbeza dengan apa yang perlu dibayar.

Jika produk ini dijual dengan RM2.80 semasa promosi, maka selepas tempoh promosi, label harga perlu ditanggalkan ataupun ia perlu dijual dengan harga promosi sehingga kehabisan stok. Namun, tiada langkah yang dilakukan oleh pihak Carrefour untuk membetulkan kesilapan ini. Mereka menjual dengan harga yang tidak sepadan dengan harga yang ditanda pada label.

Pengguna perlu berhati-hati semasa membeli-belah, terutamanya pada musim perayaan ini. Periksa tanda harga pada label dan harga pada resit bayaran. Jika terdapat sebarang kekeliruan, melaporkan kepapda Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia