Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada 26 Ogos yang lalu bertempat di pejabat CASE di Singapura.

MOU antara dua persatuan pengguna peringkat kebangsaan daripada dua buah negara berjiran ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara kedua-duanya khususnya berkaitan perlindungan kepenggunaan. Memorandum Persefahaman ini membolehkan kedua-dua persatuan pengguna bekerjasama dalam isu kepenggunaan Dan bertukar maklumat tentang perundangan Dan penyelidikan.

Selain itu, kerjasama ini juga memungkinkan pengendalian aduan yang diterima oleh kedua-dua buah persatuan yang melibatkan transaksi pembelian barang atau penggunaan perkhidmatan yang melibatkan kedua-dua buah negara.

FOMCA melalui Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) boleh membantu mengendalikan aduan yang diterima oleh CASE melibatkan transaksi pengguna Singapura di Malaysia.

Begitu juga CASE membantu NCCC bagi aduan pengguna Malaysia tentang urusan pembelian di Singapura.

Majlis menandatangani MOU ini telah dilakukan oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA dan Encik Yeo Guat Kwang, Presiden CASE.

Turut menyaksikan majlis menandatangani MOU ialah Encik Muhammad Sha’ani Abdullah, Setiausaha Agung FOMCA, Puan Wan Suraya Wan Mohd. Radzi, wakil Suruhanjaya Perdagangan Malaysia di Singapura, Encik Encik Wong Kon Ping, wakil Bahagian Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia dan Encik Seah Seng Choon, Pengarah Eksekutif CASE.

Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman