Pada minggu lepas, jam 6 petang, saya telah pergi ke KL Sentral untuk urusan peribadi. Saya membuat keputusan untuk meletakkan kereta di stesen LRT Kelana Jaya dan mengambil tren LRT KL Sentral sebab cara ini merupakan cara yang paling cepat dan mudah pada masa lepas kerja itu. 

Tetapi, sebelum saya memasuki kawasan parkir kereta di stesen LRT Kelana Jaya, saya ternampak penghadang parkir kereta tersebut menunjukkan label “Touch N’ Go Park & Ride”, saya menyangka parkir kereta di situ menggunakan kad Touch N’ Go dan wang tunai, seperti mana hampir semua parkir kereta yang lain. Saya pun memandu kereta saya ke depan penghadang parkir kereta dan ingin mengambil tiket. Tetapi, apa  yang saya tidak jangka ialah tidak ada tiket parkir kereta kerana tempat itu hanya khas untuk pengguna Touch N’ Go sahaja.

Parkir kereta bagi pengangkutan awam adalah tempat umun yang sepatutnya dapat digunakan oleh setiap individu dalam masyarakat. Ia tidak sepatutnya dimonopoli oleh pengguna Touch N’ Go sahaja. Anda tidak dapat memasuki tempat parkir kereta, walaupun ia merupakan tempat parkir kereta umun dan anda mempunyai wang untuk membayarnya.

Berita akhbar bertarikh 8 Mei 2010 melaporkan bahawa tempat parkir kereta stesen LRT Kelana Jaya hanya akan menerima kad Touch N’ Go untuk kemudahan pengguna tren. Tetapi, saya boleh menggunakan perkhidmatan LRT tanpa menggunakan kad Touch N’ Go dengan membeli tiket di kaunter atau mesin. Untuk menggunakan perkhidmatan LRT saya mempunyai pilihan, tetapi mengapa tempat parkir kereta saya tidak mempunyai pilihan?

Salah satu daripada hak pengguna ialah “Hak untuk membuat pilihan”. Tetapi dalam situasi ini, saya tidak mempunyai pilihan lain selain daripada membeli kad Touch N’ Go kerana saya sudah terkandas di depan penghadang tempat parkir kereta. Kerajaan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam, tetapi mewujudkan batasan seperti ini yang akan menghalang sesetengah pengguna daripada menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Mesin “auto pay” dapat menyelesaikan masalah pembayaran tempat letak kereta, selain daripada menggunakan sistem kad Touch N’ Go.

Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)