Meskipun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, namun Kementerian Kewangan masih tetap dengan pendirian untuk mengeluarkan lesen judi kepada Kumpulan BERJAYA. Ini disahkan oleh pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Dr Awang Adek Hussin pada 6 Mei 2010. Kumpulan BERJAYA akan menjadi syarikat tunggal pertaruhan bolasepak berlesen di negara ini. Sehubungan itu, pertaruhan secara sah boleh dilakukan.

Judi ialah permainan yang melibatkan pertaruhan wang atau harta. Dalam perjudian, pihak yang kalah akan harus membayar sejumlah nilai kepada pihak yang menang.


Tindakan kerajaan yang memberi lesen bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. Jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Apakah kesan pengiktirafan judi sukan?

Perjudian akan mendorong rakyat meningkatkan beban hutang. Ini akan menyebabkan “along” berleluasa memberi pinjaman untuk kaki judi untuk terus berjudi. Oleh sebab itu, masalah-masalah sosial seperti keruntuhan institusi keluarga, peningkatan gejala sosial, pertambahan kadar jenayah dan keruntuhan ekonomi negara berlaku.

Tujuan utama kerajaan Malaysia meluluskan lesen judi kepada kumpulan BERJAYA bertujuan bagi mendapatkan hasil judi tersebut untuk digunakan untuk pembangunan sukan negara. Tetapi persoalannya, adakah cara ini merupakan kaedah terbaik untuk membangun bidang sukan negara kita?

Dijangkakan ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa hutang, khususnya ketika berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2010 kerana perangai ketagihan dalam permainan judi. Bagaimanakah kerajaan Malaysia akan menyelamatkan mangsa hutang dan keluarga mangsa hutang tersebut?

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
17 Jun 2010