Pengambilan pembantu rumah warga asing telah menjadi satu keperluan bagi rakyat Malaysia memandangkan kedua-dua suami dan isteri perlu bekerja untuk menyara kehidupan keluarga. Mereka terpaksa meletakkan kepercayaan penuh kepada pembantu rumah warga asing memandangkan banyak wang yang perlu dikeluarkan untuk mendapatkan khidmat mereka. 

Negara kita mendapatkan khidmat pembantu rumah warga asing daripada negara-negara seperti Indonesia, Filipina, Sri Lanka dan Thailand.

Ramai pengguna masih tidak menyedari tentang kewujudan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), yang salah satu fungsinya ialah mengawasi kegiatan agensi-agensi pembantu rumah. Dalam laman web PAPA, terdapat senarai agensi pembantu rumah yang berdaftar. Jika pengguna mengambil pembantu rumah daripada agensi yang berdaftar di bawah PAPA, maka mereka boleh menyemak latar belakang pembantu rumah warga asing tersebut. 

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sering menerima aduan tentang agensi-agensi pembantu rumah yang tidak memberi perkhidmatan yang baik.

Terdapat agensi pembantu rumah yang mengaut keuntungan empat kali ganda daripada pembantu rumah asing yang melarikan diri. Ini merupakan salah satu tipu muslihat yang digunakan oleh agensi pembantu rumah yang dikenali sebagai “recycle”. Modus operandinya ialah pembantu rumah warga asing akan mula menimbulkan masalah kepada majikan selepas tiga bulan bekerja. Kemudian mereka akan melarikan diri kepada agensi pembantu rumah. Agensi tersebut menghantar pembantu tersebut kepada majikan yang lain pula. Proses ini akan berlanjutan. 

Dalam tempoh setahun seorang pembantu rumah boleh “recycle” empat kali. Caj yang dikenakan kepada majikan untuk perkhidmatan pembantu rumah lebih kurang sebanyak RM6,000. Daripada kegiatan ‘recycle’ itu, agensi pembantu rumah telah mendapat keuntungan sehingga RM24,000 setahun. 

Jadilah pengguna bijak, bijak bertindak sebelum menyesal. 

DEIVIGARANI KRISHNA
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
6 Mei 2010