Kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bahawa Bank Negara hendaklah mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk persatuan pengguna, sebelum melaksanakan skim baru insurans pihak ketiga, amat dialu-alukan.

Kenyataan ini selaras dengan slogan pentadbiran Perdana Menteri di bawah gagasan 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian DiUtamakan”.

Pelbagai pihak membantah cadangan skim baru insurans pihak ketiga ini kerana ia tidak memberi manfaat kepada pengguna, sebaliknya lebih menyebelahi kepada syarikat insurans.

Walaupun terdapat dakwaan syarikat insurans bahawa mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi menampung tuntutan kemalangan pihak ketiga ini, namun inilah tanggungjawab sosial yang perlu dipikul oleh mereka.

Rata-ratanya pemegang skim insurans pihak ketiga adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak mampu untuk membeli skim insurans komprehensif yang premiumnya tinggi.

Biasanya mereka ini akan membeli insurans pihak ketiga selepas selesai menjelaskan keseluruhan bayaran kereta mereka. Biasanya pengguna membeli insurans komprehensif disebabkan keperluan syarikat kewangan sebelum mereka menyelesaikan bayaran ansuran kereta tersebut. Selain itu, pemilik kereta lama juga biasanya akan membeli skim insurans pihak ketiga kerana nilai kereta mereka yang rendah.

Sewajarnya pihak berkuasa memberikan perhatian kepada kebajikan pengguna seperti ini agar mereka tidak menjadi mangsa kepada syarikat insurans yang lebih berminat untuk mengaut keuntungan semata-mata.


MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN

7 April 2010