Kuala Lumpur, 18 Februari 2010 - Hasil daripada kajian yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada tahun 2009, 92 peratus daripada responden mengenali FOMCA sebagai sebuah persatuan pengguna.

Ini didedahkan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam ucapan beliau ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pertandingan Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2010.

 


Menurut beliau lagi, kajian tersebut juga menunjukkan bahawa tahap kesedaran pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia hanya 58 peratus sahaja, yang kebanyakannya berkaitan dengan tahap pendidikan seseorang. Pengguna yang berpendidikan tinggi mempunyai tahap kesedaran yang lebih tinggi berbanding pengguna yang berpendidikan rendah.

Bagi peringkat umur pula, kajian itu mendapati belia berumur 15 hingga 20 tahun mempunyai tahap kesedaran pengguna yang rendah berbanding golongan yang lebih dewasa.

Lebih memeranjatkan lagi hasil kajian tersebut ialah kesediaan pengguna melaksanakan hak mereka sebagai pengguna. Lebih daripada 90 peratus pengguna di Malaysia tahu bahawa pengguna perlu diberi layanan yang adil dan bertindak apabila ditipu. Mereka juga bersetuju bahawa pengguna perlu bersatu padu dan mementingkan kepentingan masyarakat dalam tindakan mereka. Namun begitu kurang daripada 60 peratus sahaja yang mengamalkan hak mereka sebagai pengguna.

Malahan 91 peratus responden mengakui tentang kepentingan menjadi ahli persatuan pengguna, tetapi hanya 27 peratus sahaja yang menganggotai persatuan pengguna.

Mohd Yusof Abdul Rahman
18 Februari 2010