15 Mac ialah Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia

Tema bagi Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2015 - DIET YANG SIHAT

Kesan Diet yang Tidak Sihat kepada Pengguna Malaysia

Di Malaysia, diet sering dikaitkan dengan penyakit kronik, lazimnya yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Jumlah penghidap penyakit ini semakin meningkat sejak beberapa dekad yang lalu. Serangan jantung dan strok merupakan antara lima punca utama penyakit yang membawa kematian. Nisbah satu dalam lima rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis. Begitu juga jumlah pesakit diabetes telah meningkat dua kali ganda daripada 1.5 juta pada tahun 2006 kepada 3 juta pada tahun 2011.

Pembangunan ekonomi yang pesat dalam tempoh 20 tahun telah membawa perubahan ketara dalam gaya hidup rakyat Malaysia. Perubahan gaya hidup, terutamanya dalam corak pemakanan seperti peningkatan dalam pengambilan makanan berlemak, makanan berminyak dan karbohidrat ditapis, seperti roti putih , beras putih dan gula.

Merujuk beberapa statistik yang merujuk kepada amalan pemakanan ini, satu daripada empat orang kanak-kanak sekolah di Malaysia mengalami berat badan secara berlebihan atau obes. Malaysia menduduki negara yang mempunyai rakyat paling gemuk di Asia Tenggara dan negara yang keenam di rantau Asia Pasifik.  Malaysia telah menduduki tempat

keenam di Asia dan ke-17 di dunia bagi penduduk yang mengalami kencing manis.

Faktor-faktor yang membawa kepada risiko penyakit obesiti, antaranya kecenderungan ibu bapa memberikan makanan segera kepada anak-anak dan makanan yang mengandungi gula yang tinggi. Manakala, kantin sekolah turut menjual makanan yang tidak sihat, seperti sosej, nuget dan makanan ringan. Amalan kerap makan di luar adalah salah satu faktor risiko utama rakyat Malaysia berterusan mengambil  makanan berminyak, gula yang tinggi dan garam berlebihan.

Kurangkan Pengambilan Garam

Peningkatan pengeluaran makanan yang diproses, pembangunan yang pesat dan perubahan gaya hidup telah mengubah corak pemakanan rakyat Malaysia.  Makanan diproses semakin meningkat di pasaran, mudah diperoleh dan harganya lebih murah. Hampir seluruh penduduk dunia kini mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam. 

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan garam secara kerap akan meningkatkan risiko mendapat tekanan darah tinggi (hipertensi). Tekanan darah tinggi adalah penyebab utama kepada penyakit kardiovaskular, 60% risiko mendapat angin ahmar dan 50% punca penyakit hati.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO ) dan Panduan Diet Malaysia menyarankan  pengambilan garam tidak melebihi satu sudu teh atau 5mg sehari, yang bersamaan dengan 2,000 mg natrium sehari.  Walau bagaimanapun, kajian terhadap Pengambilan Makanan dalam kalangan Dewasa Malaysia pada tahun 2002/2003 mendapati pengambilan natrium dalam kalangan orang dewasa menunjukkan 2,575 mg sehari atau 28% lebih tinggi daripada pengambilan yang disyorkan .

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III (2006) pula mendapati 43% golongan dewasa Malaysia menghidapi penyakit tekanan darah tinggi akibat daripada pengambilan garam yang tinggi.


Kurangkan Pengambilan Gula

Kebanyakan diet makanan pada hari ini mengandungi gula yang tinggi, yang disebabkan penggunaannya yang berlebihan dalam makanan diproses yang popular.  Penggunaan gula secara  berlebihan merupakan faktor risiko utama yang menyebabkan obesiti. Gula adalah penyumbang kepada peningkatan kalori secara berlebihan dalam tubuh badan. Kalori yang terdapat dalam produk makanan yang mengandungi gula yang tinggi boleh meningkatkan berat badan. Makanan yang mempunyai gula yang tinggi turut menjadi penyebab utama diabetes tahap 2 dan dikatakan membawa peningkatan kadar penyakit jantung.

Pada tahun 2009,  Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan bahawa Malaysia merupakan Negara ke-8 tertinggi di dunia yang banyak mengambil gula.

Pada tahun 1970-an, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 17 sudu teh gula sehari. Angka ini meningkat kepada kira-kira 21 sudu teh sehari pada tahun 1980-an.  Pada tahun 1990-an pula, rakyat Malaysia menggunakan secara purata 24 sudu teh gula sehari, tetapi kini angka itu telah meningkat kepada 26 sudu teh sehari.

Gula juga dikaitkan dengan lebih 60 penyakit, antaranya kanser, kencing manis, obesiti, masalah jantung, osteoprosis, masalah buah pinggang, asma dan alahan.  Sebahagian daripada penyakit yang boleh membunuh ini, telah menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan dalam tempoh beberapa tahun.  

Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, 11.6 juta daripada 16 juta orang dewasa di seluruh negara menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD), seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau kanser.

Malaysia merupakan negara yang mempunyai penduduk yang paling ramai mengalami masalah berat badan berlebihan dan obes di Asia. 54%  daripada orang dewasa adalah obes atau mengalami berat badan berlebihan, berbanding hanya 24.1%  pada 10 tahun yang lalu. Dengan itu, nisbah 7 daripada 10 orang dewasa di Malaysia menghidapi penyakit kronik.

Hal ini disokong oleh kenyataan Institut Diabetes Antarabangsa, yang menyatakan bahawa Malaysia mencatat tangga ke-4 tertinggi bagi jumlah penghidap kencing manis di Asia. Manakala 800,000 penduduk  dilaporkan menghidap sakit kencing manis pada tahun 2007.

Hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) Pertama, yang dijalankan pada tahun 1986, mendapati penghidap diabetes mencatatkan 6.3%, angka ini meningkat kepada 8.3% pada tahun 1996, dan terkini pada 2006 NHMS mendedahkan bahawa  penghidap diabetes telah meningkat kepada 14.9%.

Pelabelan pada pembungkusan makanan.

Diet yang tidak sihat adalah faktor risiko utama yang menyebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit kardiovaskular, kanser, kencing manis dan dikaitkan dengan obesiti. Corak pemakanan rakyat di seluruh dunia telah berubah. Pengguna semakin kurang menggunakan bahan mentah untuk menyediakan makanan, sebaliknya lebih suka membeli makanan diproses  dan makanan yang dibungkus. Sejak dekad yang lalu, penjualan makanan terhadap produk makanan yang dibungkus telah meningkat lebih  92 % dan mencecah AS$2.2 trilion pada tahun 2012.

Bagi pengguna yang ingin membeli makanan dibungkus disarankan supaya membuat pilihan pemakanan yang tepat. Mereka perlu bijak dalam mengenal pasti makanan yang mengandungi lemak, garam dan gula yang tinggi. Buat pilihan makanan daripada pelbagai produk makanan yang dibungkus berdasarkan maklumat khasiat yang terdapat pada bungkusan makanan tersebut. 

Oleh itu, FOMCA menggesa supaya pelabelan pemakanan yang terdapat pada bungkusan makanan perlu dapat membantu pengguna menilai nutrisi produk makanan dengan cepat dan mudah serta mencegah daripada penyakit berkaitan pemakanan berdasarkan pilihan makanan yang sihat.

Makanan yang sihat di sekolah

Kualiti makanan yang disediakan di sekolah boleh memberi kesan yang besar kepada tahap kesihatan dan perkembangan kanak-kanak.

Oleh itu, untuk memastikan diet yang lebih baik kepada pelajar sekolah, FOMCA menyokong kawalan terhadap pengiklanan, promosi dan penajaan yang disasarkan kepada kanak-kanak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada  promosi produk-produk makanan dan minuman yang tidak sihat. FOMCA juga menyokong amalan pengambilan nutrisi dan penyediaan makanan berasaskan standard untuk operasi penyediaan makanan di sekolah.

Usaha antarabangsa ke arah diet yang sihat

Peringkat antarabangsa,  Consumer International ( CI ) menggesa satu Konvensyen Global bagi Melindungi dan Menggalakkan Pemakanan Sihat. CI  juga menjalankan kempen media sosial yang dikenali sebagai “Thunderclap” untuk meningkatkan kesedaran  orang awam terhadap keperluan kepada makanan dalam perjanjian global.

Peringkat kebangsaan pula, CI menyarankan semua organisasi pengguna kebangsaan untuk memberikan tumpuan kepada empat perkara utama: (1)  mengurangkan penggunaan garam, (2) mengurangkan penggunaan gula, (3) pelabelan makanan pada pembungkusan makanan, dan (4) penyediaan makanan sihat di sekolah.


Latar Belakang Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia

15 Mac dipilih sebagai memperingati tarikh Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy  yang mendeklarasikan lapan hak pengguna. Semua Persatuan Pengguna di seluruh dunia menjadikan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia sebagai acara tahunan dan menjadi lambang perpaduan bagi pergerakan pengguna sejagat. 

Lapan Hak Pengguna merupakan perkara asas dalam perjuangan perlindungan dan kebajikan pengguna di seluruh dunia. 

Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia dianjurkan oleh Consumer International (CI). CI merupakan gabungan pergerakan pengguna sedunia, iaitu sebuah badan bebas yang mewakili suara penggunadi peringkat antarabangsa. CI mempunyai keahlian sebanyak 240 buah organisasi di 120 buah negara. Pada setiap tahun CI menetapkan satu tema global yang khusus bagi Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia.

 

 


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi, FOMCA
(Tel: 03 – 7877 4741 / 013-348 4990; E-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)