PETALING JAYA, 10 FEBRUARI 2014 - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan Pertandingan Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia (HPM) 2014.

Pertandingan Kepenggunaan HPM 2014 ini merupakan acara tahunan kali yang ke-13, dianjurkan oleh FOMCA serta disokong oleh pelbagai pihak, seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatn Jalan Raya Malaysia (MIROS), Standards Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan sebagainya.


Sebanyak 12 jenis pertandingan dijalankan pada tahun 2014, iaitu:

 

  1. Pertandingan Mengarang Esei Kepenggunaan
  2. Pertandingan Melukis Poster dan Mereka Bentuk Poster Grafik Kepenggunaan
  3. Pertandingan Melukis Kartun Kepenggunaan
  4. Pertandingan Blog Kepenggunaan
  5. Pertandingan Fotografi Kepenggunaan
  6. Pertandingan Buku Skrap Kepenggunaan
  7. Pertandingan Montaj Video
  8. Pertandingan ‘Speak Up’
  9. Pertandingan Mewarna Kepenggunaan
  10. Pertandingan Anugerah Penyertaan Terbanyak Peringkat Sekolah
  11. Kempen Penjimatan Air `MyWater’
  12. Anugerah Guru HPM2014

Pada tahun 2014, FOMCA memperkenal pertandingan baru, iaitu Anugerah Guru HPM 2014. Pertandingan ini terbuka kepada semua guru sekolah di Malaysia kecuali Guru Besar, Pengetua, Guru Penolong Kanan 1 dan Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum. Objektif pertandingan ini diperkenalkan adalah untuk mengenal pasti guru yang bergerak aktif dalam pendidikan kepenggunaan di Malaysia dan mengiktiraf guru-guru yang bergerak secara sukarela dalam mendidik pengguna muda tentang kepentingan ilmu kepenggunaan. Penilaian akan dilakukan oleh Para hakim yang terdiri daripada Ahli Panel Jawatankuasa Tertinggi FOMCA dengan memastikan guru memenuhi kriteria Anugerah ini. Nama guru yang telah disenarai pendek akan dihubungi oleh urusetia FOMCA dan perlu menghantar profil sekolah serta senarai aktiviti sebagai bukti sokongan dalam anugerah ini.

Sambutan Penyertaan Pertandingan Menggalakkan
Pertandingan kepenggunaan HPM mendapat penyertaan yang amat menggalakkan pada setiap tahun, Pada tahun 2012, pertandingan ini menerima sebanyak 115,447 penyertaan secara keseluruhan. Ini melayakkan pertandingan ini disenaraikan dalam Malaysia Book of Records, iaitu memecah rekod jumlah penyertaan pada tahun 2010. 

Peningkatan penyertaan ini disebabkan oleh lebih banyak promosi pertandingan diadakan di seluruh negara, iaitu sesi penerangan di sekolah-sekolah rendah dan pertandingan mewarna yang diadakan di pasar raya Giant, sekolah rendah dan pusat Komuniti. 

Sebanyak RM225,000 hadiah wang tunai diperuntukkan sebagai hadiah keseluruhan pertandingan. Semua peserta yang menyertai pertandingan kepenggunaan akan diberikan sijil penyertaan yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pertandingan ini menjadi saluran kepada semua lapisan masyarakat, sama ada kanak-kanak, pelajar sekolah rendah atau menengah, pelajar institusi pengajian tinggi dan orang awam, untuk menyalurkan pandangan mereka tentang isu kepenggunaan dalam pelbagai medium pertandingan.

Tarikh tutup penyertaan dan tarikh akhir penyerahan projek
Tarikh tutup pertandingan kepenggunaan HPM 2014 pada 4 Julai 2014. Bagi pertandingan Speak Up, kumpulan yang terpilih akan memulakan projek pada bulan Jun dan perlu diselesaikan pada pertengahan bulan September 2014. 

Pihak sekolah berminat untuk menganjurkan sesi ceramah dan pertandingan di sekolah mereka, boleh menghubungi urus setia pertandingan di 03-7877 4741.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2014 boleh diperoleh di laman sesawang: www.mypengguna.com.