Bangi, 15 Mac 2013 – 15 Mac adalah Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia. Ia merupakan acara tahunan yang dijalankan oleh pergerakan pengguna di seluruh dunia sebagai hari sambutan dan penyatuan aktiviti dalam meningkatkan perlindungan dan perpaduan pengguna. 

Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia merupakan acara global sebenar. Semenjak 30 tahun yang lalu, Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia telah bertapak kukuh sebagai satu fenomena antarabangsa, yang melibatkan lebih daripada 80 pergerakan pengguna di lebih 60 buah negara yang mengambil bahagian setiap tahun. 

Pada Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia, pergerakan pengguna menjalankan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran tentang hak-hak pengguna, mewujudkan desakan agar hak-hak tersebut dihormati dan dijamin, serta  mengadakan tindakan memprotes sebarang amalan pasaran yang menyeleweng dan ketidakadilan sosial.

Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia mula diadakan pada 15 Mac 1983. Semenjak itu, ia merupakan acara penting dalam usaha untuk menggembleng sokongan dan penglibatan masyarakat pengguna. 

Tema Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2013 ialah: Keadilan Pengguna Sekarang! Pemilihan tema ini berdasarkan kepada usaha untuk mengemas kini Garis Panduan Perlindungan Pengguna Bangsa-Bangsa Bersatu. Garis Panduan ini, yang telah dipersetujui pada tahun 1985 dan kali terakhir dikemas kini pada 1999, merupakan rujukan utama antarabangsa bagi pergerakan pengguna. 

Bersempena dengan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2013, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menganjurkan satu Forum Kepenggunaan. Forum ini  memberikan tumpuan tentang sejarah dan masa hadapan kepenggunaan, kerangka perlindungan kepenggunaan di Malaysia, serta isu kepenggunaan terkini yang memberikan kesan kepada perlindungan dan kebajikan pengguna. 

Ahli panel forum terdiri daripada Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Profesor Madya Dr. Naemah Amin, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Dato’ Indrani Thuraisingham, Ketua, Pejabat Consumers International bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah. Puan Reihana Abdul Razak, Pengerusi, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bertindak sebagai pengantara forum.

YB. Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menyempurnakan pelancaran Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2013. Seramai 1,000 orang menghadiri majlis tersebut.

Turut hadir ialah Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA, Dato’ Saripuddin Kasim, Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Dato’ Indrani Thuraisingham, Ketua, Pejabat Consumers International bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)